Pegawai kanan polis dituduh membunuh
IPOH: Pegawai kanan polis yang terbabit dalam kes kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima di sini pada Jumaat lalu, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh.
Pertuduhan ke atas Mohd Nazri Abdul Razak, 44, pegawai bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan berpangkat deputi superintenden, dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dia dihadapkan di hadapan Majistret S Punitha, namun tidak pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mangsa kejadian, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas motosikal ditunggangnya didakwa dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru.
Kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.
Pada hari sama, pegawai kanan polis yang bertugas di Kedah ditahan selepas terbabit dalam kejadian itu. - SUMBER
Apa Reaksi Anda?











