Penerokaan Haram Dibendung, Hak dan Kebajikan Orang Asli Terus Dijaga
Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap penerokaan tanah tanpa kebenaran tidak ditujukan kepada masyarakat Orang Asli yang mengusahakan tanah dalam skala kecil bagi tujuan kediaman dan sumber pendapatan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata fokus penguatkuasaan adalah terhadap kegiatan penerokaan tanah secara haram berskala besar yang boleh menjejaskan kawasan Hutan Simpan Kekal, kawasan tadahan air dan taman negara.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asli sebagai penduduk asal sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri, manakala isu sebenar timbul apabila pihak luar mengambil kesempatan menggunakan kewujudan komuniti Orang Asli sebagai alasan untuk menjalankan penerokaan tanah secara besar-besaran.
“Memang Orang Asli ini adalah penduduk asal dan kita tidak ada masalah dengan mereka. Yang menjadi masalah ialah penceroboh-penceroboh tanah yang mengambil kesempatan kerana adanya masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.”
YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil kira keperluan masyarakat Orang Asli, termasuk soal tempat tinggal dan sumber pendapatan keluarga.
Beliau menjelaskan, pengusahaan tanah dalam skala kecil untuk keperluan keluarga seperti tanaman getah dan kelapa sawit tidak menjadi sasaran tindakan kerajaan, sebaliknya perhatian diberikan kepada penerokaan berskala besar tanpa kebenaran.
“Tempat tanah dia nak berumah tangga, kita tidak akan kacau. Dia nak mencari rezeki seekar dua untuk tanam getah, tanam sawit untuk dia dan keluarga, kita tidak ganggu.”
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya turut mendapatkan maklumat berkaitan nama penduduk Orang Asli yang benar-benar menetap di sesuatu kawasan serta lot tanah yang mereka usahakan bagi memastikan bantuan dan perhatian kerajaan dapat disalurkan kepada golongan yang berhak.
Pada masa sama, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap penerokaan tanah secara haram berskala besar bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Menurut beliau, jika kegiatan berkenaan dibiarkan, ia berisiko menyebabkan kerosakan Hutan Simpan Kekal, menjejaskan kawasan tadahan air serta menimbulkan kesukaran dalam mengawal kawasan taman negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli, malah pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan disediakan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti berkenaan.
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, pembinaan serta baik pulih rumah, penyediaan sekolah di kawasan pedalaman, selain pembangunan masjid, balai raya dan kemudahan jalan.
“Masyarakat Orang Asli ini kita tatang macam minyak panas, kita jaga. Yang sekolah kita beri bantuan, yang nak masuk universiti kita bantu, yang tidak ada rumah kita betulkan rumah dan yang langsung tidak ada tempat tinggal kita bina rumah.”
Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dengan memastikan keperluan asas dan kemudahan awam mereka terus dipenuhi.
Pada masa yang sama, usaha membanteras penerokaan tanah secara haram akan diteruskan bagi melindungi kawasan hutan, sumber air dan khazanah alam negeri untuk kepentingan generasi akan datang.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela, pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan dan kelestarian alam sekitar sentiasa dipelihara.
Apa Reaksi Anda?











