PPBM Tawar Bantuan Kewangan..? ‘Patutlah Pas Sanggup Tinggal UMNO, MN’
Setiausaha Agung UMNO, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan bahawa Pas mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) kerana PPBM menawarkan bantuan kewangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata perkara tersebut didedahkan sendiri oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Ahmad.
“Patutlah Pas sanggup meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama PPBM mendaftar dan menubuhkan Parti Perikatan Nasional (PN).
“Memang waktu itu lagi ramai yang memberikan maklumat bahawa PPBM menawarkan kepada Pas bantuan kewangan hadapi PRU ke-15.
“Justeru, hari ini apabila bekas Setiausaha Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN termasuk calon-calon Pas ditanggung PPBM hanya mengesahkan cakap-cakap waktu itu,” katanya.
Pada Rabu media melaporkan Dr Marzuki mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU ke-15 telah ditanggung sepenuhnya oleh PPBM.
Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum untuk satu kawasan parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.
Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU ke-15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir halus parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU ke-16 ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan Pas Ke-71 pada Selasa.
Ujarnya, parti rakan dalam PN bergantung kepada peralatan yang terpaksa dibayar oleh Pas untuk bertanding dengan parti itu mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU).
Apa Reaksi Anda?











