PAS, Bersatu dan Dana Pilihan Raya: Siapa Tipu Siapa?
Kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mengenai pembiayaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) oleh Bersatu, membuka satu lagi lembaran yang memalukan buat PAS. Pendedahan bahawa kos pilihan raya PN pada PRU15 ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu termasuk sumbangan kewangan yang besar kepada PAS membuktikan parti yang kononnya berjuang atas nama Islam itu sebenarnya bergantung nyawa pada poket orang lain.
Apa yang lebih menggelikan hati, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, tampil dengan nada ‘blur’, seolah-olah tidak tahu menahu tentang aliran dana yang disebut. Beliau hanya mampu menjawab ringkas: “Tanya dia, dia bagi kat siapa duit tu?” Jawapan dangkal itu sebenarnya menguatkan lagi dakwaan Dr Marzuki. Jika PAS benar-benar bebas, telus, dan tidak bergantung pada sesiapa, mereka sudah tentu mampu menafikan dengan tegas. Tetapi bila jawapannya kabur, itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Hakikatnya, sejak PAS bergabung dalam PN, mereka tidak lagi berdiri atas kaki sendiri. Bersatu bukan sahaja menanggung perbelanjaan besar sepanjang PRU15, malah turut menyediakan segala kelengkapan dan peralatan kempen. Dengan kata lain, kemenangan 43 kerusi Parlimen PAS bukanlah hasil kekuatan dalaman mereka semata-mata, tetapi kerana dana dan sokongan logistik yang ditanggung oleh Bersatu. PAS menang besar, tetapi di atas duit orang lain.
Kenyataan Sanusi bahawa mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 boleh menelan kos sehingga RM1 juta pula menambahkan ironi. Dari mana PAS mahu dapat dana sebesar itu jika tanpa Bersatu? Adakah mereka akan terus menagih ihsan daripada rakan sekutu, sambil mendabik dada kononnya parti Islam paling kuat di Malaysia? Atau mungkinkah PAS terpaksa kembali menggunakan taktik lama “tabung jihad” dan derma orang kampung untuk menampung keghairahan politik elit mereka?
Pendedahan Dr Marzuki ini juga secara tidak langsung mengesahkan bahawa struktur kuasa dalam PN tidak seimbang. Bersatu menjadi “banker” yang membayar segala kos, manakala PAS menuai hasil kemenangan paling besar. Tidak hairanlah hubungan kedua-dua parti sering retak menanti belah. Penyokong Bersatu tentu muak melihat wang parti mereka habis mengalir, tetapi PAS yang mendabik dada konon merekalah nadi kekuatan PN.
Inilah wajah sebenar PAS, berlagak sebagai juara moral, tetapi hakikatnya parti ini hidup dengan bergantung pada kantung orang lain. Bila orang yang pernah berada dalam inner circle PN sendiri sudah mula membuka cerita, kita tahu banyak lagi yang belum terbongkar.
PRU15 sudah membuktikan PAS bukan parti yang mampu berdikari. Soalnya sekarang untuk PRU16 nanti, siapakah pula yang sanggup jadi ‘penaja besar’ kepada mereka? Atau adakah kali ini, cerita dana hitam akan lebih terdedah, memalukan lagi wajah politik yang kononnya suci dan bersih itu?
Apa Reaksi Anda?











