SPR Wajar Siasat Perakuan Sanusi

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub beranggapan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menyiasat perakuan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan perbelanjaan parti ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Ujarnya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Ahmad bahawa perbelanjaan PRU ke-15 ditanggung sepenuhnya oleh PPBM.
“Kita tidak terkejut dengan pendedahan pengesahan Marzuki bahawa perbelanjaan PRU ke-15 Perikatan Nasional (PN) ditanggung sepenuhnya oleh PPBM. Sebab itulah Pas berbelanja mewah termasuk membeli undi.
“Ianya sebagai timbal balas kepada persetujuan Pas, membenarkan jenteranya kepada PPBM. Pengesahan Marzuki itu ekoran kenyataan Sanusi dalam Muktamar Pas yang baru berlangsung yang dengan sinis menyindir PPBM sebagai sebuah parti tumpangan Pas pada PRU ke-15.
“Kita tidak berminat untuk campur tangan dalam episod ‘londeh-melondeh’ mereka. Itu masalah mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, kenyataan Sanusi itu menunjukkan bahawa Pas telah menipu SPR dan membuat penyataan palsu mengenai perbelanjaan PRU ke-15 yang sebenar.
“Apa yang menarik perhatian kita ialah kenyataan Sanusi ‘kalau tak ada RM1 juta satu parlimen untuk belanja pilihan raya maka jangan harap boleh menang 60 kerusi’. Kenyataan ini sudah pasti bersandar kepada pengalaman Pas bagaimana mereka berbelanja dalam PRU ke-15 di setiap parlimen yang mereka tandingi.
“Ternyata Pas telah menipu SPR kerana had yang dibenarkan ialah RM200 ribu untuk setiap parlimen. Bermakna Pas telah membuat penyata palsu kepada SPR tentang perbelanjaan sebenarnya.
“Oleh itu adalah wajar SPR menyiasat kebenaran perakuan Sanusi itu. Sekiranya benar, maka SPR wajar mengisytiharkan calon yang menang itu sebagai ‘disqualified’,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?






