PRN Sabah: Muhasabah… Bangkit, Kembali Lebih Kuat
Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyeru seluruh pejuang UMNO untuk menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah sebagai satu muhasabah dan kembali bangkit dengan lebih kuat.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, para pemimpin UMNO Sabah ikhlas menerima keputusan yang terzahir dari suara rakyat.
“Rakyat Sabah telah bersuara..,. dan dalam sesebuah demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat. Sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah, saya mewakili rakan-rakan kepimpinan yang lain, dengan ikhlas menerima keputusan PRN kali ini.
“Kepada parti-parti yang menang saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Mandat yang anda terima adalah amanah daripada rakyat dan saya berdoa agar ia dipikul dengan bijaksana, rendah hati serta penuh rasa tanggungjawab.
“…kerana akhirnya, walau apa pun warna parti kita, di mana pun kedudukan kita… kita semua cintakan tanah Sabah ini,” katanya.
Ujarnya, keputusan yang diterima Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini bukanlah petanda kepada noktah perjuangan parti.
“Namun hari ini, saya ingin bercakap terus ke hati UMNO Sabah. Kepada para penyokong kita. Kepada ahli-ahli kita. Kepada jentera kita yang tidak pernah mengalah, yang berjalan masuk ke kampung-kampung, berdiri di bawah terik matahari, mengetuk pintu demi pintu, berjaga hingga larut malam memastikan suara kita sampai kepada rakyat.
“Anda telah memberikan segalanya. Anda berjuang dengan maruah. Anda berdiri teguh walaupun arus tidak menyebelahi kita. Dan atas segala pengorbanan itu daripada lubuk hati saya, terima kasih.
“Saya tahu ini bukan keputusan yang kita harapkan. Saya tahu ramai yang rasa kecewa, malah hampa. Tetapi saya mahu anda ingat satu perkara, kegagalan hari ini bukan noktah perjuangan kita. Kekalahan ini bukan kekalahan semangat kita.
“Malah, saat ini mengingatkan kita bahawa perjuangan kita lebih besar daripada satu pilihan raya. Lebih besar daripada satu malam. Lebih besar daripada mana-mana individu,” katanya lagi.
Tambahnya, denyut nadi rakyat perlu diselami dengan lebih mendalam di samping merapatkan hubungan masyarakat untuk parti bangkit berserta kesediaan.
“Seperti generasi UMNO Sabah yang terdahulu, kita bangkit, belajar dan kembali dengan lebih kuat. Itulah semangat UMNO Sabah. Itulah semangat Sabah. Hari ini bukan hari putus asa, ia adalah hari bermuhasabah, pembaharuan dan membina tekad baharu.
“Kerana setiap gerakan besar tetap melalui ujian. Setiap parti yang kuat mesti melalui musim cabaran. Setiap kali, kita temui keberanian untuk membina kembali. Jadi izinkan saya nyatakan dengan jelas… perjalanan kita masih panjang. Jauh daripada berakhir.
“Kita akan menggunakan saat ini untuk lebih mendengar denyut nadi rakyat, merapatkan hubungan dengan masyarakat, memperbaharui iltizam dan memperkukuhkan kekuatan. Apabila pilihan raya seterusnya tiba… yang pasti akan berlaku, kita akan bersedia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO Sabah akan kembali bersinar selagi semua pemimpin dan ahli bersatu serta berkhidmat dengan ikhlas.
“Kepada anak-anak muda yang bersama kita… akar umbi yang teguh berdiri dan para pemimpin yang memikul panji parti, angkatlah kepala anda. Kita mungkin tersungkur hari ini, tetapi kita tersungkur ke hadapan. Kita belajar. Kita perbaiki diri. Kita bangkit.
“Kerana harapan bukan sesuatu yang hilang pada hari pilihan raya. Harapan adalah sesuatu yang hidup dalam diri kita. Sesuatu yang tidak boleh dirampas oleh mana-mana keputusan. Selagi harapan itu kita jaga… selagi kita bersatu, dan terus berkhidmat dengan ikhlas, masa depan UMNO Sabah akan kembali bersinar.
“Hari ini, kita berehat. Esok, kita bangkit semula. Satu hari nanti, dengan izin Allah, kepercayaan rakyat dan semangat kita yang tidak pernah padam… kita akan kembali lebih gagah daripada sebelumnya.
“Terima kasih, Sabah. Terima kasih, UMNO Sabah dan terima kasih kepada semua yang terus percaya kepada perjuangan ini. Semoga Allah memberkati UMNO Sabah, dan semoga Allah memberkati negeri yang kita cintai ini,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











