Proses pajakan, gadaian dan pindah milik tanah diperketat

Oleh : BARD
Disember 4, 2023 - 09:22 MYT
Proses pajakan, gadaian dan pindah milik tanah diperketat

Kerajaan Pahang telah memperketatkan proses bagi pajakan, gadaian, pindah milik dan pelupusan tanah rizab Melayu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Langkah itu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan pegangan tanah rizab Melayu di Pahang agar terus terpelihara, justeru beliau berkata, semua permohonan bagi tujuan pajakan dan pemilikan perlu diangkat untuk pertimbangan serta kelulusan pihak berkuasa negeri.

Beliau berkata, setakat ini jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang telah diwartakan berkeluasan 397,619.05 hektar di seluruh Pahang.

"Bagi memastikan keluasan kawasan tersebut dikekalkan, sebarang pembatalan ke atas rizab Melayu perlulah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri dan penggantian kawasan baru akan dilaksanakan serentak.

"Selain daripada itu, bagi menambah jumlah keluasan tanah rizab Melayu, semua Projek Skim Tanah Rakyat (STR) turut diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu," katanya ketika berucap pada Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan semalam.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan antara inisiatif yang dijalankan kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi pendapatan dan ekonomi golongan bumiputera adalah melalui pelaksanaan STR dengan projek ekonomi yang dijalankan adalah berasaskan projek pertanian.

Menerusi pelaksanaan STR beliau berkata, kerajaan negeri juga dapat memberi peluang kepada rakyat terutamanya bumiputera yang masih belum mempunyai tanah untuk memiliki aset dan sekali gus dapat dibangunkan secara ekonomik.

Bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran pula pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan negeri terutama dalam bidang keusahawanan melibatkan kaum bumiputera antaranya pelaksanaan Skim I-Push berjumlah RM20 juta telah diperuntukkan pada 2022 dan 2023.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow