Gudang terbakar: Kebakaran belum dipadam sepenuhnya sejak malam tadi

Oleh : PAHANGKU
Disember 4, 2023 - 10:01 MYT
Gudang terbakar: Kebakaran belum dipadam sepenuhnya sejak malam tadi
Operasi pemadaman membabitkan tiga gudang di Bukit Selambau masih dilakukan. Setakat ini bomba anggar 40 peratus lagi perlu dipadamkan. - Foto Bomba

SUNGAI PETANI: Kebakaran yang membabitkan tiga gudang di Bukit Selambau malam tadi sehingga menyebabkan letupan bunga api dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata gudang terbabit dipercayai menjalankan operasi memproses aloi kepada aluminium yang diambil daripada barang-barang elektronik terpakai.

Beliau berkata, berdasarkan temubual saksi di lokasi kejadian dengan seorang lelaki warga China dipercayai juruteknik kilang berkenaan yang dibantu jurubahasa lelaki tempatan memaklumkan, dia menyedari kejadian itu pada jam 7.50 malam tadi selepas ternampak api besar dalam kawasan kilang.

"Saksi berasa takut dan terus keluar melarikan diri ikut pintu belakang selain memaklumkan gudang itu beroperasi sejak lima bulan lalu.

@bharianmy Kilang kayu terbakar bersama letupan bunga api. #beritaditiktok ♬ original sound - Berita Harian

"Bagaimanapun setakat ini punca kebakaran belum diketahui dan siasatan masih dilakukan oleh pihak Bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, hingga jam 8 pagi hari ini pasukan bomba masih belum dapat memadamkan api sepenuhnya kerana masih terdapat timbunan barang-barang yang sedang terbakar dan pihak bomba sedang menunggu escavator masuk untuk mengorek timbunan bahan-bahan yang masih terbakar.

Bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tiga gudang simpanan barang terpakai di Bukit Selambau - Foto NSTP

Beliau berkata, keadaan api ketika ini kira-kira 40 peratus lagi untuk dipadamkan.

"Operasi membabitkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin bersama tiga pegawai, 22 anggota, 145 anggota ukarelawan, 17 jentera dan sebuah ambulans.

"Kebakaran membabitkan 100 peratus kawasan gudang berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu malah operasi masih sedang berjalan ketika ini," katanya.

Media semalam melaporkan tiga gudang yang menyimpan barangan terpakai seperti logam, wayar dan tembaga di Bukit Selambau, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi. - SUMBER

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow