Rumah Bangsa Bukan Slogan, Kembali Kepada Perjuangan Asal

Oleh : BARD
April 10, 2026 - 11:03 MYT
Rumah Bangsa Bukan Slogan, Kembali Kepada Perjuangan Asal

Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob menyifatkan warkah terbuka yang disampaikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam sebagai satu peringatan penting kepada ahli parti agar kembali memahami asas perjuangan sebenar.

Menurut beliau, mesej yang dibawa dalam warkah tersebut bukan sekadar menjawab kritikan semasa, tetapi mengangkat konsep “Rumah Bangsa” sebagai satu sikap yang perlu dihayati, bukan hanya dijadikan slogan politik.

“Rumah Bangsa, bukan slogan. Ia adalah satu sikap sikap untuk menerima bahawa dalam perjalanan parti, tidak semua akan sentiasa sehaluan,” katanya.

Suraya menjelaskan bahawa perbezaan pendapat, kesilapan lampau dan tindakan segelintir pihak menjauhkan diri daripada parti adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi politik. Namun, katanya, kekuatan sebenar terletak pada keterbukaan untuk menerima kembali mereka.

“Akan ada yang pernah tersasar dan memilih untuk menjauh. Tetapi kekuatan kita adalah pada kesediaan membuka ruang untuk kembali, bukan menutup pintu selamanya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa masa depan parti tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah kegemilangan lampau. Sebaliknya, generasi baharu perlu diberi ruang untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk hala tuju parti.

“Jika tidak, rumah ini hanya menjadi tempat mengumpul nostalgia dan memori, bukannya rumah yang memberi harapan dan tawaran baharu.”

Suraya menambah bahawa konsep “Rumah Bangsa” hanya akan benar-benar bermakna sekiranya ia diterjemahkan melalui tindakan, termasuk cara ahli parti berinteraksi, kembali kepada tujuan asal perjuangan serta membina semula kekuatan bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa kesatuan ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan utama dalam membina masa depan negara.

“Akhirnya, Rumah Bangsa hanya bermakna jika ia benar-benar dirasai iaitu melalui kesatuan rakyat untuk kembali memilih UMNO dan BN sebagai rumah untuk berteduh,” katanya lagi.

Semalam Azalina melalui Warkah Terbuka Kepada Ahli UMNO memaklumkan bahawa Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh Presiden parti adalah wadah penyatuan dan penerimaan kembali untuk perjuangan parti malah menolak dakwaan memperlekeh usaha dan mempersoalkan gagasan terbabit dengan pelbagai gelaran sinis dan jahat.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow