80 Tahun Jadi Saksi UMNO Memerintah Dengan Penuh Tanggungjawab

Oleh : BARD
April 11, 2026 - 09:00 MYT
80 Tahun Jadi Saksi UMNO Memerintah Dengan Penuh Tanggungjawab

Perjalanan 80 tahun UMNO dalam arena politik tanah air menjadi saksi kepada corak pemerintahan penuh tanggungjawab yang dibawa parti itu terhadap negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menyumbang sehabis baik terutamanya dalam menjaga kebajikan orang Melayu di negara ini sepanjang mentadbir.

“UMNO dah menjangkau usia 80 tahun. Dalam tempoh 80 tahun ini banyak peristiwa yang berlaku sewaktu kita bersama-sama dengan semua ahli UMNO. Jadi, ini adalah satu warisan yang diberikan ataupun ditinggalkan oleh nenek moyang kita.

“Sepanjang 80 tahun ini kita telah menyumbang sehabis baik kepada kebajikan rakyat dan juga orang Melayu di negara ini khususnya kepada Tanah Melayu itu sendiri.

“Harapan saya adalah untuk melihat UMNO kembali memimpin di dalam negara ini sebagai pemimpin nombor satu, perdana menteri … agar kita dapat meneruskan perjuangan dan juga warisan yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita di dalam perjuangan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, terdapat pelbagai rintangan telah dilalui UMNO termasuklah kritikan dan fitnah sehingga parti itu tidak dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pemerintah dominan.

“Sudah tentu harapan ini bukan satu perkara mudah, tetapi ia bukanlah sesuatu perkara yang mustahil kerana saya melihat dalam keadaan politik hari ini … semua telah melihat bagaimana UMNO ini memerintah negara dengan rasa cukup bertanggungjawab.

“Sekiranya kita mempunyai pertimbangan di antara nak memilih politik populis atau politik tanggungjawab, kita akan memilih politik tanggungjawab. Itulah sebabnya 80 tahun ini kita mempunyai banyak pengalaman.

“Kita terpaksa berhadapan dengan fitnah, kritikan dan perkara-perkara yang kita tidak boleh janjikan pun kepada rakyat. Disebabkan itulah kita kalah. Saya harap rakyat semua faham dan melihat kepada pengalaman UMNO itu sendiri. Kita akan bergerak untuk memastikan UMNO kembali menjadi pemimpin utama negara pada masa akan datang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kehidupan rakyat Malaysia akan terus sejahtera di bawah kepimpinan UMNO yang tentunya matang dan berpengalaman.

“Saya ucapkan selamat ulang tahun UMNO yang ke-80 kepada semua ahli UMNO orang-orang Melayu khususnya dan juga rakyat Malaysia. Percayalah bahawasanya UMNO ini akan menjadi tonggak kepada negara ini.

“Kita mempunyai pengalaman yang cukup; perjalanan yang sungguh lama dan ini mematangkan kita untuk kembali pimpin negara ini dalam keadaan yang cukup; pembangunan yang cukup dan kesihatan yang cukup. Sudah tentu rakyat Malaysia akan sejahtera di bawah pimpinan UMNO,” katanya lagi.

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.

Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.

Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow