Sambutan 80 Tahun UMNO: Islam dan Pendidikan Terus Menjadi Nadi Kekuatan Pahang

Oleh : BARD
April 9, 2026 - 13:16 MYT
Sambutan 80 Tahun UMNO: Islam dan Pendidikan Terus Menjadi Nadi Kekuatan Pahang

OLEH: Ahmad Fansuri Mohamad Nasir

Lapan dekad perjuangan UMNO bukan sekadar catatan sejarah, tetapi lambang sebuah tekad yang tidak pernah luntur dalam mempertahankan Islam, memperkukuh pendidikan, dan membina masa depan generasi berteraskan ilmu serta nilai.

Di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang tidak sekadar mengejar kemajuan fizikal, tetapi membina kekuatan rohani, intelektual dan sosial rakyat.

Inilah prinsip yang menjadi teras perjuangan UMNO sejak dahulu  bahawa kemajuan sebenar tidak hanya diukur melalui bangunan dan angka ekonomi, tetapi melalui kekuatan akhlak, keteguhan iman dan kecemerlangan ilmu.

Di Pahang, perjuangan ini tidak pernah berhenti pada slogan atau retorik. Ia diterjemahkan secara konsisten melalui dasar yang jelas dan tindakan yang menyeluruh. Dalam Belanjawan 2026, kerajaan negeri memperuntukkan RM235.95 juta khusus bagi memperkasa syiar Islam  satu peningkatan RM39.89 juta berbanding tahun sebelumnya. Peruntukan ini meliputi pendidikan agama, pembangunan masjid, surau, institusi agama serta penyediaan kemudahan ibadah di seluruh negeri.

Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif yang menyentuh terus kehidupan rakyat. Masjid dan surau terus diperkasa sebagai pusat ibadah, penyatuan ummah dan pembangunan komuniti. Dalam masa sama, kebajikan petugas agama terus diberi perhatian. Pada 2025 sahaja, kerajaan negeri menyalurkan RM1.761 juta sebagai sumbangan kepada imam, bilal, siak, guru KAFA, penyelia KAFA dan guru takmir sebagai penghargaan terhadap jasa mereka membimbing masyarakat.

Kerajaan negeri turut memperkukuh agenda pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang. Melalui Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026, sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk membantu kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang, dengan setiap pelajar menerima bantuan sekali bayar RM400. Selain itu, Yayasan Pahang turut menyediakan bantuan pelajaran, pinjaman pendidikan dan biasiswa demi memastikan tiada anak Pahang tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

Lebih penting, keberanian dalam memperjuangkan agenda Islam turut terserlah apabila pelbagai 16 Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan untuk memperkasa dan mengembangkan syiar Islam di Pahang

Dalam bidang pendidikan Islam, hasil pelaburan strategik ini semakin terserlah. Keputusan SPM 2025 membuktikan bahawa model pendidikan tahfiz di Pahang bukan sahaja berjaya melahirkan generasi celik agama, malah cemerlang dalam akademik.

Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang mencipta sejarah apabila merekodkan GPS 0.60, dengan 25 daripada 48 calon memperoleh semua A dan 100 peratus layak sijil. Pada masa sama, Maahad Tahfiz Negeri Pahang terus mengekalkan kecemerlangan apabila mencatat GPS 1.06, dengan 40 daripada 70 calon memperoleh semua A. Kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz moden yang digerakkan kerajaan negeri berjaya melahirkan modal insan seimbang  cemerlang duniawi dan kukuh ukhrawi.

Semua usaha ini bergerak selari dengan Aspirasi Pahang 1st  satu gagasan yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan, memartabatkan agama, memperkukuh nilai dan memastikan pembangunan negeri sentiasa berteraskan identiti serta jati diri.

Inilah wajah sebenar perjuangan 80 tahun UMNO  perjuangan yang bukan sekadar dikenang, tetapi diteruskan dengan kesungguhan, keberanian dan iltizam. Perjuangan yang memastikan Islam terus dimartabatkan, pendidikan terus diperkasa, dan masa depan rakyat terus dibela demi generasi hari ini dan akan datang.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow