Warkah Terbuka Kepada Ahli UMNO – Rumah Bangsa: Wadah Penyatuan dan Penerimaan

Oleh : BARD
April 9, 2026 - 11:00 MYT
Warkah Terbuka Kepada Ahli UMNO – Rumah Bangsa: Wadah Penyatuan dan Penerimaan

Saudara dan saudari ahli UMNO sekalian,

Kebelakangan inj, masih terdapat suara-suara yang memilih untuk memperlekeh usaha penyatuan dan mempersoalkan gagasan Rumah Bangsa dengan pelbagai gelaran sinis dan jahat. Namun UMNO terus kekal konsisten sejak lapan dekad yang lalu sebagai wadah utama memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Keutamaan UMNO sejak mula ditubuhkan adalah menyatu dan memperkukuh semula kekuatan bangsa melalui pendekatan yang matang dan bertanggungjawab.

Rumah Bangsa bukan sekadar simbol penyatuan. Ia adalah ruang penerimaan. Ia membuka pintu kepada mereka yang pernah menjauh, yang pernah berbeza pandangan, dan yang ingin kembali menyumbang kepada perjuangan parti.

Pada masa yang sama, Rumah Bangsa juga mencerminkan keterbukaan UMNO kepada generasi baharu. Anak muda dan generasi masa hadapan mempunyai tempat dalam parti ini. UMNO perlu terus menjadi wadah yang menerima tenaga, idea dan kepimpinan baharu demi memastikan kesinambungan perjuangan.

UMNO tidak dibina atas kekuatan individu. UMNO adalah sebuah institusi yang berakar dalam masyarakat. Kekuatan parti ini terletak pada akar umbi yang setia dan berdisiplin. Dari sinilah lahir pemimpin silih berganti yang meneruskan amanah perjuangan. UMNO tidak pernah ketandusan kepimpinan kerana kekuatan institusi, budaya khidmat bakti dan kesetiaan ahli-ahlinya.

Sudah tiba masanya kita meninggalkan budaya salah menyalahkan. Fokus kita adalah membina, menyatu dan memperkasa. Rumah Bangsa adalah cerminan kepada usaha tersebut. Ia adalah rumah besar yang menerima dan menghimpunkan semua yang ikhlas untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

UMNO akan terus kekal sebagai wadah yang memayungi dan menyatukan, dengan tekad Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Selamat bersidang kepada UMNO cawangan di seluruh negara.


DATO’ SERI AZALINA OTHMAN SAID
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow