UMNO Mesti Kembali Jadi ‘Agenda Maker’, Bukan Sekadar ‘King Maker’
UMNO mesti kembali memainkan peranan sebagai *agenda maker* yang membentuk dasar dan hala tuju negara, bukan sekadar menjadi *king maker* yang dicari apabila pihak tertentu memerlukan sokongan politik atau angka kerusi.
Penegasan itu disuarakan Jurucakap Negeri Pahang, Dato' Abu Jimi Samat, ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Menurut beliau, UMNO perlu lebih lantang membawa perbahasan dasar serta menawarkan penyelesaian terhadap isu yang menyentuh kepentingan rakyat, selaras dengan perkara yang pernah diperjuangkan parti ketika berada di blok pembangkang.
“Parti yang mahu menjadi 'agenda maker' sepatutnya berbahas mengenai dasar dan cadangan penambahbaikan untuk rakyat, bukan sekadar menjadikan UMNO sebagai sasaran politik.
“Apabila UMNO kembali dianggap sebagai musuh, kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan kerjasama politik yang ada pada hari ini berakhir pada bila-bila masa,” katanya.
Abu Jimi turut mengingatkan ahli UMNO agar tidak menjadikan jumlah kerusi sebagai satu-satunya ukuran kejayaan parti. Sebaliknya, fokus utama perlu diberikan kepada usaha mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.
“Kita jangan hanya bertanya, ‘berapa kerusi kita dapat?’ tetapi kita mesti bertanya, ‘berapa banyak hati rakyat yang berjaya kita menangi?’ Pilihan raya boleh dimenangi dengan angka, tetapi perjuangan hanya boleh dimenangi dengan kepercayaan.”
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lipis itu berkata, Pahang yakin UMNO masih mempunyai masa depan, namun masa depan tersebut perlu dibina melalui keberanian, disiplin, pembaharuan dan kesetiaan terhadap perjuangan parti.
Beliau mengingatkan bahawa UMNO telah melalui pelbagai fasa getir termasuk kehilangan kuasa dan menjadi pembangkang namun tetap bertahan kerana parti itu bukan sekadar sebuah organisasi politik, sebaliknya sebuah perjuangan yang berakar umbi.
“Kita pernah jatuh, kalah, kehilangan kuasa dan melalui zaman yang gelap. Tetapi kita masih di sini.
“Selagi akar umbi tidak berputus asa, jentera terus bekerja dan ahli berani berubah serta bangkit, UMNO masih mempunyai masa depan,” tegasnya.
Abu Jimi turut menyeru seluruh ahli supaya tidak gentar menghadapi masa depan, sebaliknya menjadikan pengalaman lalu sebagai kekuatan untuk membina semula keyakinan rakyat.
Katanya, UMNO tidak boleh terus menjadi parti yang hanya diperlukan apabila pihak lain memerlukan sokongan politik.
Sebaliknya, UMNO mesti kembali menjadi parti yang diperlukan kerana rakyat percaya kepada perjuangan, dasar dan kepimpinannya.
“Kita jangan menjadi parti yang hanya diperlukan apabila orang lain memerlukan nombor kita.
“Kita mesti menjadi parti yang diperlukan kerana rakyat percaya kepada perjuangan kita.
“Kita jangan hanya menjadi *king maker*. Kita mesti kembali menjadi *agenda maker*,” tegasnya.
Apa Reaksi Anda?











