Jangan ‘Denial Syndrome’, Anak Muda Perlu Berani Bersuara
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyeru golongan anak muda agar tidak berada dalam ‘denial syndrome’ sebaliknya berani menyuarakan pandangan, cadangan dan kritikan demi memperkukuh perjuangan UMNO.
Menurut beliau, suara anak muda amat penting kerana mereka merupakan pewaris kepimpinan parti pada masa hadapan.
“Kalau ada apa-apa yang mereka ingin ketengahkan, mereka kena beritahu. Pemimpin tidak tahu semua perkara kerana kita banyak fokus kepada pelbagai perkara. Mungkin ada yang terlepas pandang dan mereka inilah yang akan membantu kita melaksanakannya.”
Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama perwakilan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan UMNOSiswa semalam.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang itu menyifatkan mahasiswa sebagai aset penting parti dan negara, khususnya dalam meneruskan sumbangan kepada agama, bangsa dan pembangunan tanah air.
“Saya sangat teruja dapat berjumpa dengan anak-anak mahasiswa. Mereka masih muda dan perjalanan hidup mereka masih jauh. Saya berkongsi sedikit nasihat serta pengalaman untuk mereka jadikan panduan dalam meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata Sekolah Patriotik UMNO (SPU) merupakan antara inisiatif parti dalam mendekati golongan muda, selain membentuk jati diri dan kefahaman mereka terhadap sejarah perjuangan UMNO.
Beliau berkata SPU yang dicetuskan atas ilham Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini telah mencapai lima batch dan mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, program itu bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membuka ruang komunikasi dua hala supaya peserta dapat bertanya, berdiskusi dan memahami sendiri sejarah perjuangan parti.
“Hasrat kita adalah untuk melihat anak-anak muda ini mempunyai jati diri yang kuat, sayang kepada negara, mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan tidak pernah berputus asa.”
Lebih penting, katanya, peserta SPU dapat memahami sejarah UMNO dengan lebih dekat dan menjadi penyampai maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Ini penting kerana, menurut beliau, terdapat pelbagai cerita mengenai UMNO di luar sana yang mungkin tidak tepat atau hanya separuh benar.
Wan Rosdy turut menyatakan keyakinannya terhadap komitmen graduan SPU untuk terus bersama UMNO dalam usaha memastikan Malaysia kekal berada di landasan pembangunan yang betul serta melonjakkan kedudukan negara ke tahap lebih tinggi di persada dunia.
Apa Reaksi Anda?











