Empat Pendekatan BIRU Perkukuh Agenda Malaysia Biru, Dekati Rakyat Hingga Ke Akar Umbi
Agenda Malaysia Biru perlu diterjemahkan daripada sebuah gagasan kepada gerak kerja yang benar-benar dirasai rakyat.
Bagi memastikan usaha itu sampai hingga ke akar umbi, Naib Presiden UMNO, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menggariskan empat pendekatan BIRU yang perlu diberi perhatian bagi memperkukuh agenda tersebut.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, kekuatan UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada gerak kerja ketika pilihan raya, sebaliknya hubungan dengan rakyat mesti dibina, diperkukuh dan dipelihara sepanjang masa.
1. Bina hubungan dengan rakyat.
Menurut beliau, UMNO perlu lebih dekat dengan masyarakat tanpa mengira masa, tempat atau kelompok.
“Kita bina hubungan dengan rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa. Sekarang ini bukan kita tak bina hubungan, tetapi tidak menyeluruh.”
Justeru, katanya, pendekatan kepada rakyat perlu diperluaskan dengan memberi perhatian kepada semua lapisan masyarakat, khususnya anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja, wanita serta masyarakat akar umbi.
“Untuk itu kita wajib dekati anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja, wanita dan masyarakat akar umbi.”
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, semalam.
2. Ikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan penyelesaian masalah rakyat.
Wan Rosdy menegaskan bahawa hubungan dengan pengundi tidak boleh berhenti pada usaha mendapatkan sokongan ketika pilihan raya.
Sebaliknya, kepercayaan perlu dibina melalui khidmat yang konsisten, keprihatinan dan kesungguhan membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Kalau Jalinan Rakyat tulis putih, kita ikat atau kepung mereka hingga hari mengundi. Kita ikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan membantu masalah.”
Menurut beliau, UMNO perlu memberikan rakyat alasan untuk terus percaya kepada parti, bukan sekadar hadir untuk meminta undi.
“Jangan hanya meminta undi, kita mesti memberikan sebab untuk rakyat terus percaya kepada UMNO.”
3. Rampas hati rakyat melalui kerja nyata.
Bagi Wan Rosdy, hati rakyat tidak boleh dimenangi hanya dengan kata-kata. Ia perlu diraih melalui tindakan, hasil kerja dan keupayaan pemimpin memahami kehidupan serta denyut nadi masyarakat.
“Rakyat tidak hanya mahu mendengar apa yang kita katakan, mereka mahu melihat apa yang kita lakukan untuk mereka.”
Dalam usaha itu, UMNO perlu memberikan tumpuan kepada kelompok yang menjadi penentu, termasuk pengundi atas pagar, pengundi muda serta pengundi FELDA yang kini semakin menjauh daripada parti.
“Fokus kepada yang atas pagar, pengundi muda, pengundi FELDA yang telah mulai menjauh.”
4. Ubah persepsi dan bina naratif sendiri.
Wan Rosdy turut menekankan keperluan UMNO untuk lebih berani menentukan naratifnya sendiri berkaitan perjuangan, pencapaian serta tawaran masa depan parti kepada rakyat.
Katanya, UMNO tidak boleh membiarkan pihak lain menentukan gambaran tentang parti tanpa menjelaskan sendiri rekod dan sumbangan yang telah dilaksanakan.
“Kita sendiri mesti membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan UMNO kepada rakyat. Tunjukkan rekod perkhidmatan kita.”
Empat pendekatan BIRU ini, katanya, perlu diterjemahkan dalam bentuk kerja yang tersusun, konsisten dan dekat dengan rakyat.
Kerana akhirnya, kekuatan UMNO bukan sekadar diukur melalui keupayaan berkempen ketika pilihan raya, tetapi melalui sejauh mana parti hadir dalam kehidupan rakyat iaitu mendengar, membantu, berkhidmat dan membina kepercayaan sepanjang masa.
Agenda Malaysia Biru hanya akan benar-benar bermakna apabila ia bukan sekadar slogan, tetapi menjadi gerakan yang hidup di setiap negeri, bahagian, cawangan dan hingga ke akar umbi.
Apa Reaksi Anda?











