792 Penerima Terima Manfaat IM Pahang 2025: Bukti Komitmen Negeri Perkukuh Sektor Makanan & Kebajikan
Seramai 792 penerima di daerah Paya Besar menerima bantuan di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) 2025 bagi Kluster Petani, Penternak dan Nelayan dalam satu majlis penyerahan di Dewan Paya Besar Dato’ Sri Abdul Manan hari ini.
Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata pelaksanaan bantuan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan golongan sasar tidak ketinggalan dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa. Menurutnya, IM Pahang bukan sekadar bantuan tunai, tetapi pendekatan holistik untuk memperkukuh sektor makanan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar, terutama menjelang musim tengkujuh yang sering menjejaskan pendapatan petani dan nelayan.
“IM Pahang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat luar bandar serta menjadi galakan kepada petani, penternak dan nelayan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan negeri,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Majlis turut dihadiri ADUN Inderapura, YB Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif, bersama barisan kepimpinan setempat.
Agihan Bantuan Mengikut Kluster
Daripada 792 penerima, pengagihan bantuan adalah seperti berikut:
Nelayan laut: 314
Kluster veterinar: 195
Pertanian: 136
Nelayan darat: 103
Akuakultur: 44
Setiap penerima menerima RM200, menjadikan jumlah peruntukan untuk daerah ini sebanyak RM158,400.
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM50.54 juta bagi pelaksanaan IM Pahang 2025 yang merangkumi kluster pendidikan, kebajikan, kesihatan dan pembangunan komuniti. Peruntukan besar ini menunjukkan kesungguhan negeri menyalurkan bantuan secara lebih tersusun dan berkesan agar manfaatnya benar-benar dirasai masyarakat akar umbi.
Dengan pelaksanaan ini, Pahang terus memperkukuh agenda keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan peralihan negara menuju ekosistem ekonomi mampan serta berdaya tahan.
Apa Reaksi Anda?











