Cherating & Cerating - Erti Sebati

Oleh : BARD
Jun 12, 2025 - 15:00 MYT
Cherating & Cerating - Erti Sebati

Tular satu hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengenai penukaran nama salah satu lokasi peranginan yang cukup terkenal di Pahang iaitu Cherating kepada ejaan baharu Cerating. https://www.facebook.com/share/p/1Bf3vwLxYc/

Siapa yang tak kenal Cherating, kan? Pantai cantik, deretan chalet pelbagai rupa, destinasi pilihan bukan sahaja warga Kuantan, malah pelancong luar negara pun tahu kewujudannya. Kalau disebut ‘nak healing’, antara tempat pertama yang terlintas, Cherating lah jawabnya. Namun, ejaan nama itu ingin ditukar. Dari Cherating ke Cerating. Kelihatan remeh, sekadar pertukaran huruf. Tapi persoalannya, perlu sangatkah?

Sebagai anak jati Pahang, sejak kecil saya membesar dengan nama Cherating. Ia bukan sekadar nama, tapi identiti, memori, dan citra yang sudah sebati dalam sebutan dan ingatan. Maka tak hairanlah apabila ramai warga netizen turut meluahkan rasa kecewa dan tidak setuju di ruangan komen. Bagi kami, ini bukan sekadar soal ejaan, ini soal akar dan jati.

Manusia, lumrahnya, sukar untuk berpisah dengan yang sudah sebati. Kita cenderung mempertahankan yang kita kenal dan selesa. Sama juga halnya dengan politik. Bila sudah sebati dengan satu pemerintahan yang memberi hasil dan kestabilan, mengapa perlu ditukar? Apa keperluan untuk ‘menawan’ sesuatu yang sudah pun makmur?

Saya tertanya juga, apa rasional di sebalik slogan “PAS Tawan Pahang”? Hendak tawan atas dasar apa, sedang kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional ini saban tahun menyediakan pelbagai inisiatif dan memperlihatkan prestasi yang tidak mengecewakan? Kalau sudah terang lagi bersuluh, apakah lagi yang mahu ‘ditunjukkan’?

Sama seperti penukaran Cherating ke Cerating yang kelihatan kecil tetapi memberi kesan besar kepada identiti tempatan, penukaran kerajaan juga bukan sesuatu yang boleh dibuat secara sembrono. Silap langkah, yang diganti bukan bertambah baik, tapi hilang rasa. Maka, biarlah kita celik mata dan sedar diri. Jangan sampai yang kita tukar itu baik nama, mahupun kerajaan yang akhirnya memakan diri.

Nukilan
Nadia Rose
Mewangi Tapi Berduri

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow