Penubuhan Rumah Bangsa Satu Langkah Membanggakan – Tun Khalil
Bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob berpandangan bahawa penubuhan Sekretariat Rumah Bangsa merupakan satu langkah yang membanggakan.
Menurut beliau, usaha tersebut dilihat mampu menguatkan semula UMNO dalam meneruskan perjuangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
“Penubuhan Sekretariat Rumah Bangsa merupakan satu langkah yang membanggakan. Untuk kita kuatkan UMNO dan UMNO perlu lebih banyak memainkan peranan dalam kerajaan, kita kena ‘recall’.
“Mereka yang meninggalkan UMNO pada satu ketika dahulu ialah orang kuat parti. Kepulangan semula mereka ini membantu prestasi UMNO. Kita mesti tidak lupa bahawa UMNO ini adalah pejuang terbesar untuk orang Melayu.
“Maka ‘the more, the merrier’. Lebih ramai pemimpin yang kita tahu memiliki kehandalan dalam politik dan pentadbiran … mereka kembali semula ke dalam UMNO,” katanya dalam sesi temu bual di Facebook UMNO Online.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO berkata, penyertaan semula bekas ahli serta pemimpin UMNO ini mampu meletakkan parti itu sebagai pemerintah pada masa akan datang.
“Insya-Allah UMNO akan menjadi lebih kuat. Ini kerana kita belum pernah melihat seorang pemimpin UMNO yang tidak menjadi Perdana Menteri. Jika kita lihat semua barisan Perdana Menteri Malaysia, mereka mempunyai latar belakang kuat dalam UMNO dan juga penting dalam kerajaan.
“Tiada siapa boleh menafikan bahawa transisi ini adalah sesuatu yang ‘natural’. Jadi maksud Presiden itu, saya melihat kita boleh menyokong dan bersama-sama meyakinkan bahawa pemimpin yang keluar ini kembali ke pangkal jalan dan bersama-sama menerajui UMNO yang perlu kekal sebagai kerajaan dan pemerintah,” katanya lagi.
Sekretariat Rumah Bangsa merupakan inisiatif yang diputuskan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sebagai usaha menghimpunkan bekas pemimpin serta ahli parti bagi memperkukuh semula jaringan perjuangan.
Platform ini dilihat sebagai langkah penyatuan yang merapatkan hubungan antara pemimpin lama dan baharu dalam memastikan kesinambungan perjuangan serta memperkukuh peranan UMNO dalam landskap politik negara.
Apa Reaksi Anda?











