Terjerat dalam kitaran hutang
Persoalan demi persoalan timbul apabila kehilangan tiga beranak yang dilaporkan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Kedah sejak 20 Julai dikaitkan dakwaan hutang berbermain kutu.
Siasatan polis masih berjalan dan belum ada kesimpulan muktamad, namun perkembangan itu membuka mata masalah kewangan tidak lagi sekadar membabitkan angka di kertas.
Apabila pendapatan tidak lagi seiring kos sara hidup, jalan paling mudah dilihat adalah mendapatkan wang segera, termasuk melalui skim kutu yang dianggap lebih mudah berbanding pinjaman institusi kewangan.
Namun, di sebalik kemudahan itu tersembunyi risiko. Pada asalnya, permainan kutu merupakan amalan masyarakat yang berteraskan kepercayaan dan semangat saling membantu
Kini, nilainya mencecah puluhan ribu ringgit, peserta pula semakin ramai, malah ada dianjurkan melalui media sosial tanpa sebarang perjanjian.
Apabila seorang gagal membayar, kesannya merebak kepada seluruh kumpulan. Daripada pertelingkahan kecil, ia boleh berakhir dengan laporan polis, tindakan undang-undang atau lebih buruk lagi, ancaman keselamatan.
Realitinya, rakyat Malaysia juga tidak dapat lari daripada komitmen kewangan yang semakin besar. Sehingga Jun 2025, hutang isi rumah negara mencecah RM1.666 trilion, bersamaan 84.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebagaimana dipetik daripada Tinjauan Ekonomi 2026 diterbitkan Kementerian Kewangan berdasarkan data Bank Negara Malaysia.
Walaupun sebahagian besar pinjaman digunakan bagi pembelian rumah dan kenderaan, pembiayaan peribadi serta kad kredit turut menyumbang lebih 15 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah.
Angka itu menunjukkan kehidupan hari ini semakin bergantung kepada pembiayaan, sekali gus menuntut disiplin pengurusan kewangan lebih baik. Lebih membimbangkan apabila ada yang memilih menutup satu komitmen dengan membuat pinjaman baharu.
Hari ini berhutang dengan rakan, esok menggunakan kad kredit, lusa pula menyertai kutu demi mendapatkan wang segera. Masalah asal tidak selesai, sebaliknya terus membesar seperti bebola salji yang bergolek menuruni bukit.
Tekanan kewangan juga bukan sekadar menghakis simpanan, bahkan menjejaskan emosi. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam satu laporan terbitannya pada 2023 menyifatkan hutang sebagai antara faktor yang mempunyai kaitan kuat dengan kemerosotan kesihatan mental.
Tidak hairanlah terdapat Individu yang memilih memendam masalah, berasa malu berdepan pemiutang dan enggan berkongsi kesulitan dengan ahli keluarga sehingga keadaan menjadi semakin sukar.
Islam sejak awal mengingatkan hutang adalah amanah, bukannya jalan mudah memenuhi kehendak. Rasulullah SAW sendiri sering berdoa agar dijauhkan daripada beban hutang kerana ia boleh mendorong seseorang berkata dusta dan memungkiri janji.
Justeru, setiap pinjaman perlu dibuat mengikut kemampuan, dicatat dengan jelas serta diselesaikan menjaga hak kedua-dua pihak.
Kes kehilangan tiga beranak itu wajar dijadikan peringatan hutang bukan sekadar urusan kewangan. Ia menyentuh soal integriti, kepercayaan dan kesejahteraan masyarakat.
Selagi budaya berbelanja melebihi kemampuan serta sikap mencari jalan pintas terus menjadi pilihan, selagi itulah semakin ramai berisiko terjerat dalam kitaran yang sukar dilepaskan.
Wang memang boleh dicari, tetapi apabila kepercayaan hilang, harganya jauh lebih mahal daripada nilai setiap ringgit yang dipinjam.
Apa Reaksi Anda?











