DANA RAYA TERENGGANU: Ada Pilihan Raya, Ada Dana?

Oleh : BARD
Mac 5, 2026 - 14:42 MYT
DANA RAYA TERENGGANU: Ada Pilihan Raya, Ada Dana?

Dalam politik, angka jarang menipu. Yang selalu mengelirukan hanyalah cara angka itu diceritakan kepada rakyat.

Di Terengganu, antara cerita yang paling kerap dijual setiap kali menjelang Aidilfitri ialah kisah Dana Raya. Program ini sering digambarkan sebagai bukti kerajaan negeri begitu prihatin terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, asnaf, ibu atau bapa tunggal, warga emas dan OKU.

Jika dilihat sepintas lalu, memang nampak seolah-olah begitu. Tetapi apabila kita membuka semula rekod perbelanjaan sejak 2005 hingga 2026, cerita sebenar mula terserlah.

Sepanjang tempoh pentadbiran BN dari 2005 hingga 2017, Dana Raya disalurkan setiap tahun tanpa gagal. Jumlahnya juga stabil dan meningkat secara berperingkat. Bermula dengan RM44 juta pada 2005, ia meningkat kepada RM46 juta pada 2006, RM49.5 juta pada 2007, sekitar RM50 juta pada 2009 dan 2011, dan RM53.5 juta pada 2012.

Memasuki pertengahan dekad, jumlahnya menjadi lebih besar. RM70 juta pada 2014, RM78 juta pada 2015, RM81.3 juta pada 2016, dan akhirnya mencapai RM89.09 juta pada 2017. Pendek kata, dalam tempoh lebih sedekad, Dana Raya bukan sahaja konsisten, malah semakin bertambah.

Kemudian datanglah 2018, tahun perubahan kerajaan negeri.

Pada tahun pertama pentadbiran baharu, Dana Raya masih diagihkan sebanyak RM69.13 juta. Namun selepas itu, keadaan berubah dengan cukup ketara.

Pada 2019, jumlahnya merudum kepada hanya RM15.81 juta.
Lebih mengejutkan, pada 2020 dan 2021, rekod menunjukkan angka yang sangat jelas iaitu RM0. Tiada Dana Raya langsung diberikan kepada rakyat pada dua tahun tersebut.

Namun seperti biasa dalam politik, “keajaiban” sering berlaku apabila musim pilihan raya semakin hampir.

Pada 2022, tahun Pilihan Raya Umum, Dana Raya tiba-tiba kembali dengan jumlah RM58.99 juta. Setahun kemudian, pada 2023, menjelang Pilihan Raya Negeri, sebanyak RM43.45 juta sekali lagi diagihkan kepada rakyat Terengganu.

Keputusan pilihan raya itu juga mencatat sejarah. Buat pertama kali sejak 1978, Terengganu menjadi negeri yang langsung tiada pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri.

Tetapi selepas pilihan raya selesai, cerita kembali seperti sebelumnya.

Pada 2024, 2025, dan sehingga 2026, rekod menunjukkan Dana Raya kembali menjadi RM0. Tiada peruntukan, tiada agihan, tiada lagi cerita tentang keprihatinan menjelang Syawal.

Dalam tempoh ini juga menyaksikan negeri Terengganu menerima hasil royalti minyak yang sangat tinggi, antara yang tertinggi dalam tempoh sepuluh tahun.Apabila semua angka ini disusun semula mengikut tahun, coraknya terlalu jelas untuk disangkal.

Ketika tiada pilihan raya, Dana Raya boleh hilang bertahun-tahun. Tetapi apabila musim pilihan raya tiba, tiba-tiba puluhan juta ringgit boleh muncul semula.

Jadi persoalannya bukan lagi tentang kemampuan kewangan kerajaan negeri. Soalnya lebih mudah daripada itu.

Adakah Dana Raya ini benar-benar untuk membantu rakyat, atau sekadar muncul setiap kali rakyat hendak masuk ke bilik mengundi? Melihat kepada corak yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Terengganu mungkin hanya boleh berharap satu perkara sahaja.

Kalau mahu Dana Raya kembali, nampaknya kita kena tunggu musim pilihan raya lagi.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow