Perang Asia Barat beri kesan berantai kepada dunia
Konflik semakin tegang di Asia Barat khususnya selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran memberi kesan bukan sahaja kepada negara terlibat, malah ekonomi dan kehidupan seluruh dunia.
Perang ini mulai mencetuskan kebimbangan besar kerana ia berlaku di rantau yang menjadi kunci utama dalam pengaliran tenaga global.
Salah satu kesan paling awal yang jelas dirasai ialah kenaikan harga minyak dan gas dunia. Ketika konflik meningkat, harga minyak Brent crude melonjak melebihi AS$80 (RM315) setong yang merupakan paras tertinggi sejak beberapa bulan lalu.
Ini berlaku kerana laluan strategik seperti Selat Hormuz yang menjadi nadi 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas akibat konflik dan ancaman keselamatan.
Kesan kenaikan harga minyak bukanlah sesuatu yang kecil. Minyak dan gas merupakan bahan asas untuk banyak sektor bermula dari rumah tangga hingga perkilangan dan pengangkutan.
Apabila harga tenaga naik, kos pengangkutan, bahan mentah dan barang harian turut meningkat serta ia boleh menyebabkan inflasi atau kenaikan harga barang di banyak negara.
Selain itu, pasaran kewangan global turut mengalami kemerosotan. Indeks saham utama di AS, Eropah dan Asia jatuh kerana pelabur mengambil pendekatan berhati-hati dan risiko perang terus memberi tekanan kepada ekonomi.
Kejatuhan pasaran ini menunjukkan pelabur lebih takut kepada ketidakpastian ekonomi global jika konflik terus berlanjutan. Konflik ini juga memberi impak kepada rantai bekalan global. Banyak kapal tangki dan kontena kini tersekat atau terpaksa mengubah laluan kerana keselamatan di laut semakin tidak menentu.
Situasi ini mengakibatkan kelewatan dalam penghantaran barang dari satu negara ke negara lain melibatkan barangan elektronik, farmaseutikal dan bahan mentah. Ia sekali gus memberi tekanan kepada perniagaan dan pengguna.
Jika perang ini berlanjutan lebih lama ekonomi dunia menerima dampak lebih besar seperti kemungkinan inflasi lebih tinggi, pertumbuhan ekonomi yang melambat dan kos sara hidup meningkat.
Walaupun konflik ini bermula di Asia Barat, kesannya hampir ke seluruh dunia. Dari harga minyak yang naik, pasaran kewangan yang tidak stabil, hingga kepada kos penghantaran dan barangan meningkat.
Apa Reaksi Anda?











