Revolusi taktikal Iran: Strategi 'ketahanan asimetrik'

Oleh : BARD
Mac 6, 2026 - 09:00 MYT
Revolusi taktikal Iran: Strategi 'ketahanan asimetrik'

Kaedah peperangan Iran telah berubah secara ketara yang menyaksikan ia beralih daripada pendekatan defensif kepada strategi lebih agresif.

Keutamaan Iran ketika ini adalah untuk terus bertahan dan melancarkan serangan balas bagi menuntut bela atas pembunuhan Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei dan mahu membuktikan kekuatan strategiknya tidak boleh diperlekehkan.

Bagi merealisasikan matlamat itu, pemimpin Teheran melaksanakan taktik baharu yang akan meningkatkan kos perang terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Teheran bertindak memperluaskan medan perang ke seluruh rantau Asia Barat termasuk menyasarkan infrastruktur minyak dan gas negara Teluk, menutup Selat Hormuz yang akan menjejaskan ekonomi global dan menyebabkan inflasi.

Pada masa sama, ia juga mahu menghabiskan jumlah pemintas peluru berpandu canggih yang dimiliki musuhnya apabila terus melancarkan gelombang serangan bertubi-tubi sejak akhir minggu lalu.

Iran mahu membuat pihak lawan berasa tertekan meskipun ia memberi impak kepada hubungan dengan negara-negara Teluk yang turut menjadi sasaran serangan mereka demi untuk memastikan Trump berundur.

Bagi Teheran, keupayaan untuk bertahan daripada serangan musuh sudah pun dianggap sebagai satu kemenangan.

Rancangan itu digelar 'ketahanan asimetrik' iaitu bertindak balas terhadap ancaman lebih kuat dengan cara tidak konvensional dan mengekalkan keupayaan meningkatkan serangan apabila pertahanan udara Israel dan AS serta Teluk semakin lemah.

Trump mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk menghentikan peperangan tersebut sebelum ia membawa implikasi lebih besar termasuk peningkatan korban tentera apatah lagi pelan operasi Washington sendiri masih samar-samar.

Ubah doktrin ketenteraan

Sejak perang 12 hari pada Jun 2025, Iran telah mengubah strategi ketenteraannya secara menyeluruh sebagai persediaan menghadapi perang ganas yang dimulakan AS bersama Israel.

Teheran bertindak lebih agresif walaupun musuh melihat kekuatan tenteranya sukar difahami dan mempunyai susur galur agak kompleks.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang digeruni musuh mempunyai peranan besar termasuk melindungi struktur politik.

IRGC bukan sekadar mengawal ruang udara dan dron Iran, tetapi kemampuan itu telah menjadi asas utama strategi pencegahan negara berkenaan terhadap ancaman serangan daripada Israel dan AS.

Teheran telah mengubah doktrin ketenteraannya daripada fokus pertahanan semata-mata kepada pendekatan 'ketahanan asimetrik' yang jelas.

Perang tahun lalu yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear mereka menandakan peralihan besar daripada konfrontasi berasaskan proksi kepada pertukaran serangan langsung dan berintensiti tinggi.

Tidak mustahil jika Teheran melancarkan peluru berpandu antara benua (ICBM) berskala besar ke atas Israel sebagai amaran mereka tidak boleh dipandang enteng.

Retorik Trump juga berubah-ubah; awalnya beliau menjangkakan perang hanya selama empat minggu, tetapi kemudian menyatakan ia mungkin berlarutan lebih sebulan.

Tekanan antarabangsa dan tentangan domestik mungkin akan menamatkan konflik terbuka itu, tetapi matlamat jahat Israel untuk terus berperang dengan Iran dan proksinya, Hizbullah di Lubnan boleh menjadi halangan utama.

Objektif utama Israel adalah untuk mengekang kuasa Iran, mengganggu kestabilan proksi seperti Hizbullah demi mengekalkan dominasi serantau.

AS pula berperanan sebagai sekutu yang menyokong strategi tersebut, seolah‑olah menjadi ‘pak turut’ kepada pelan berisiko tinggi yang dirangka oleh Tel Aviv demi menunjukkan kepada dunia bahawa mereka masih mempunyai kekuatan ketenteraan dan pengaruh geopolitik yang mampu membentuk landskap keselamatan di Asia Barat.

Masih belum jelas berapa lama konflik ini akan berlanjutan atau sama ada serangan darat akan berlaku.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow