'Muhyiddin kebudak-budakan' - Hamzah
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan pertemuannya dengan beberapa pemimpin politik sebagai bersifat kebudak-budakan.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak menjadi kesalahan untuk beliau bertemu mana-mana pemimpin termasuk menteri atau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kapasiti sebagai ahli politik.
Menurutnya, perkara tersebut sepatutnya tidak dijadikan isu kerana pertemuan antara pemimpin politik adalah sesuatu yang biasa.
"Kenapa saya tak beritahu Tan Sri Muhyiddin Yassin? Saya nak beritahu, saya ni Ketua Pembangkang. Kalau saya nak jumpa Anthony Loke, dia DAP, boleh? Saya Ketua Pembangkang dia menteri. Saya Ketua Pembangkang nak jumpa Timbalan Perdana Menteri, boleh?
"Dia takut apa? Pasal dia takut, takkanlah Zahid boleh menjatuhkan dia sebagai Presiden parti? Itu hanya alasan kerana nak pecat saya, itu saja. Jadi tak payahlah nak cerita banyak-banyak. Pada saya ini macam budak-budaklah. Kita semua ni dah tua dah pun. Tak payah buat cerita yang bukan-bukan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut pada Khamis.
Hamzah berkata, tuduhan kononnya beliau melakukan pengkhianatan hanya alasan bagi memecatnya daripada parti.
Dalam perkembangan lain, Hamzah mengakui menerima pelawaan daripada beberapa parti politik untuk menyertainya termasuk Parti Keluarga Malaysia (PKM).
Beliau berkata, setakat ini perbincangan dengan parti tersebut sudah mencapai kira-kira 90 peratus namun keputusan muktamad masih belum dibuat.
"Ramai pemimpin parti kecil merasakan mungkin dengan adanya saya boleh membawa parti mereka menjadi lebih besar dan muncul sebagai pemain di peringkat nasional.
"Saya bukan hanya bertemu PKM, tetapi juga beberapa parti lain. Jadi kita akan buat keputusan selepas meneliti matlamat dan perjuangan parti berkenaan," katanya.
Mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa beliau tidak akan menerima mana-mana parti yang disertai Hamzah untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), Hamzah berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan.
Menurutnya, kerjasama politik boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk sekiranya matlamat perjuangan mendapat sokongan rakyat.
"Kalau rakyat kata saya boleh bekerjasama dengan PN, kita boleh bekerjasama. Kerjasama ini ada macam-macam cara.
"Yang penting matlamat perjuangan kita boleh diterima rakyat,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, beliau tetap akan meneruskan tradisi tahunan menyalurkan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut sempena Ramadan.
Menurutnya, tahun ini sebanyak 113 surau dan 41 masjid di kawasan tersebut menerima sumbangan bagi membantu menyediakan juadah berbuka puasa.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin secara terus terang menyatakan akan menolak sekiranya Hamzah bersama rumah baharunya ingin bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, selepas dikhianati, beliau perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara sama berulang.
Apa Reaksi Anda?











