Kerjasama Kerajaan–Swasta Tangani Kos Sara Hidup Menjelang Ramadan, Syawal

Oleh : BARD
Februari 9, 2026 - 10:00 MYT
Kerjasama Kerajaan–Swasta Tangani Kos Sara Hidup Menjelang Ramadan, Syawal

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan usaha bersepadu antara kerajaan dan industri sebagai langkah penting bagi memastikan keperluan asas rakyat kekal mampu milik menjelang Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama strategik tersebut perlu digerakkan secara menyeluruh melibatkan sektor awam, swasta dan masyarakat bagi menangani cabaran kos sara hidup, khususnya dalam tempoh permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

“Menjelang Ramadan yang bakal tiba, pastinya ramai dalam kalangan kita mula membuat persiapan bagi menyambut bulan penuh keberkatan ini. Daripada keperluan dapur, persiapan berbuka puasa sehinggalah kelengkapan menyambut Aidilfitri, semuanya memerlukan perancangan yang baik agar keluarga dapat menyambutnya dengan tenang dan sempurna.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (EXEC-NACCOL), saya percaya usaha menangani kos sara hidup memerlukan ekosistem yang bergerak secara bersepadu.

“Insya-Allah, sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat akan terus diperkasakan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi berkongsi Majlis Pelancaran Kempen “Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal” yang disempurnakan beliau, anjuran MYDIN Mohamed Holdings Berhad di MYDIN HQ USJ Subang, di sini semalam.

Sementara itu beliau turut berpandangan inisiatif penganjuran kempen tersebut oleh MYDIN mencerminkan komitmen berterusan industri runcit.

Menurut beliau ia bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian dan kelengkapan Aidilfitri pada harga berpatutan, di samping memperkasa produk tempatan untuk terus berkembang dalam pasaran arus perdana.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran produk minyak masak jenama Kak Long yang bakal dipasarkan di rangkaian MYDIN.

“Saya melihat kemasukan produk tempatan seperti ini sebagai satu langkah positif dalam membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan bersaing secara sihat dalam pasaran runcit negara.

“Teruslah menyokong produk tempatan kerana setiap sokongan itu membantu mengukuhkan ekonomi rakyat serta membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melangkah lebih jauh,” ujar beliau. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow