Lapan Dekad Berjuang, UMNO Tidak Pernah Luntur Demi Rakyat

Oleh : BARD
Mei 11, 2026 - 10:00 MYT
Lapan Dekad Berjuang, UMNO Tidak Pernah Luntur Demi Rakyat

UMNO adalah sebuah parti keramat yang telah sekian lama menjadi benteng utama dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, kata Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail.

Menurutnya, sepanjang lebih lapan dekad penubuhannya, UMNO telah membuktikan ketahanan dan keupayaannya dalam mendepani pelbagai cabaran politik serta perubahan zaman.

“Selama delapan dekad, UMNO berdiri teguh mempertahankan bangsa, agama dan tanah air. Kita teruskan perjuangan dengan semangat perpaduan, setia dan berkhidmat untuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“UMNO terus teguh mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan zaman. Daripada generasi terdahulu hingga ke hari ini, perjuangan ini tidak pernah terhenti demi memastikan rakyat terus terbela dan negara terus makmur,” katanya.

Seterusnya Azman menyeru golongan muda agar tampil memikul tanggungjawab sebagai pelapis kepimpinan parti dengan membawa nafas dan idea baharu demi memastikan kesinambungan perjuangan.

“Kepada anak-anak muda, inilah masa untuk tampil ke hadapan sebagai pelapis kepimpinan. Bawalah idea baharu, semangat baharu dan teruskan legasi perjuangan ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak seluruh ahli untuk menjadikan ulang tahun parti sebagai titik memperkukuh perpaduan serta memperbaharui iltizam perjuangan.

“Sempena ulang tahun ini, marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, memperbaharui semangat perjuangan dan terus istiqamah dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Kita yakin, dengan kesatuan dan keikhlasan, UMNO akan terus relevan dan menjadi pilihan rakyat. Selamat ulang tahun UMNO ke-80,” ujarnya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow