Iran tidak tunduk ancaman Trump
Iran tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berganjak ketika tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin hampir, iaitu sehingga jam 8 malam waktu Washington (tengah malam GMT Selasa) untuk membuka semula laluan di Selat Hormuz, meskipun berdepan ancaman serangan besar-besaran terhadap infrastruktur awam negara itu.
Tentera Iran menolak apa yang disifatkan sebagai 'retorik angkuh dan ancaman tidak berasas' oleh Trump, sambil menegaskan operasi ketenteraan terhadap AS dan Israel akan diteruskan selepas lebih lima minggu konflik berlarutan.
Trump sebelum ini memberi amaran bahawa sekiranya Teheran tidak membuka semula laluan bebas di Selat Hormuz menjelang tengah malam Selasa, Washington akan melaksanakan apa yang digelarnya sebagai 'pemusnahan menyeluruh' terhadap infrastruktur kritikal Iran.
“Kami ada pelan... setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan, setiap loji janakuasa akan lumpuh, terbakar dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya dalam satu sidang media, sambil menolak dakwaan bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Beliau turut mendakwa operasi itu boleh dilaksanakan dalam tempoh empat jam, selain mengulas kejayaan menyelamatkan dua kru jet pejuang F-15 AS yang ditembak jatuh di Iran minggu lalu.
Pertempuran terus memuncak
Sebagai reaksi, Markas Pusat Khatam Al-Anbiya tentera Iran menyifatkan Trump sebagai 'khayal' dan menegaskan operasi 'menghancurkan' terhadap musuh Amerika dan Zionis akan diteruskan.
Pertempuran terus memuncak di rantau itu dengan tentera Israel memaklumkan telah melancarkan gelombang baharu serangan udara terhadap sasaran yang didakwa sebagai 'infrastruktur Iran' di Teheran dan kawasan lain.
Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di sekitar Teheran serta bandar berhampiran, Karaj, awal pagi Selasa.
Tentera Israel kemudian mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah wilayahnya, dengan sistem pertahanan udara bertindak memintas serangan tersebut.
Gencatan senjata belum dipersetujui
Dalam perkembangan berasingan, cadangan gencatan senjata selama 45 hari yang dibawa oleh perantara antarabangsa masih belum dipersetujui kedua-dua pihak.
Trump sebelum ini menyifatkan pelan tersebut sebagai signifikan, namun kemudiannya menyatakan ia tidak mencukupi.
Media kerajaan Iran pula melaporkan Teheran menolak cadangan itu dan menegaskan keperluan untuk menamatkan konflik secara muktamad.
Menurut laporan The New York Times yang memetik pegawai kanan Iran, negara itu menuntut jaminan tiada serangan baharu serta penghentian serangan Israel terhadap sekutunya, Hizbullah di selatan Lubnan.
Di bawah pelan tersebut, Iran akan membuka semula Selat Hormuz dengan mengenakan bayaran sekitar AS$2 juta (RM8.07 juta) bagi setiap kapal, yang akan dikongsi dengan Oman.
Undian PBB mengenai Hormuz
Di peringkat diplomatik, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijangka mengundi pada Selasa terhadap resolusi yang telah dilonggarkan berhubung krisis Selat Hormuz, selepas draf awal berdepan risiko veto.
Iran telah menyekat laluan strategik itu sejak perang tercetus pada 28 Februari, sekali gus menyebabkan lonjakan harga minyak dan gas global.
Rundingan resolusi dimulakan oleh Bahrain dengan sokongan negara-negara Teluk pengeksport minyak, namun bantahan beberapa anggota tetap Majlis Keselamatan menyebabkan teks akhir tidak lagi memberikan kebenaran jelas untuk penggunaan kekerasan.
Apa Reaksi Anda?











