8,000 orang hilang di bawah runtuhan ketika pengeboman Israel di Gaza
GAZA: Sekurang-kurangnya 8,000 penduduk Palestin hilang di Semenanjung Gaza, didakwa terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat dibom oleh tentera Israel.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Pembekalan Pertahanan Awam di Gaza, Muhammad al-Mughir, yang memberitahu ketika ini wilayah yang terkepung di utara dan selatan Palestin adalah kawasan yang paling ramai individu dilaporkan hilang.
Al-Mughhair dalam temu bual dengan Al Jazeera Arabic, berkata anggota pertahanan awam kekurangan kenderaan penyelamat yang diperlukan untuk membantu mereka menyelamatkan lebih banyak nyawa.
"Ini kerana, kebanyakan kenderaan sudah rosak akibat serangan dan tembakan peluru berpandu Israel.
"Selain, hujan dan keadaan cuaca lain di Gaza juga memburukkan lagi penderitaan penduduk yang dipindahkan," katanya.
Lelaki warga emas Palestin di Gaza, Tawfik Abu Breika, berkata di blok kediamannya di bandar Khan Younis dibom tanpa sebarang amaran dan ia meranapkan beberapa bangunan serta mengakibatkan kematian.
"Hati nurani dunia sudah mati, tiada kemanusiaan atau apa-apa jenis moral. Ini adalah bulan ketiga kami menghadapi kematian dan kemusnahan," kata Breika ketika penduduk berusaha mengesan mangsa dalam runtuhan itu.
Di Rafah, penduduk mengesahkan serangan Israel baru-baru ini adalah antara yang paling buruk dalam beberapa hari lalu.
"Pada waktu malam kami tidak boleh tidur kerana pengeboman, dan pada waktu pagi kami berjalan-jalan mencari makanan untuk kanak-kanak. Tetapi tiada makanan," kata Abu Khalil, 40, bapa kepada enam anak kepada Reuters.
Sementara itu, serangan tentera Israel ke atas bandar Jenin di utara Tebing Barat berterusan sejak semalam sehingga hari ini dengan penahanan kira-kira 70 orang dari kem pelarian Jenin, menurut sumber tempatan.
Dalam serbuan di bandar itu, anggota tentera membunuh empat rakyat Palestin dalam serangan peluru berpandu oleh dron dan mencederakan ramai yang lain, salah seorang daripadanya dilaporkan kritikal.
Kenderaan tentera dikerah sejak pagi di sekitar hospital, menghalang ambulans dan kereta daripada sampai ke pusat perubatan itu, mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak yang sakit selepas bapanya terpaksa membawa mangsa dengan berjalan kaki ke hospital kerana ambulans tidak dapat mengambilnya.
Kementerian Kesihatan berkata, Ahmad Mohammad Sammar berusia 13 tahun meninggal dunia selepas tentera Israel menangguhkan ketibaannya di hospital.
Angka kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sudah melepasi 18,200 orang dengan 104 tentera Israel turut terkorban sejak konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober lalu.
Sebahagian besar kawasan Gaza musnah dalam serangan berkenaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal. - REUTERS
Apa Reaksi Anda?











