Berbohong dan mempertikai adalah satu penghinaan

Oleh : BARD
Ogos 20, 2024 - 12:00 MYT
Berbohong dan mempertikai adalah satu penghinaan

Nak berpolitik biarlah matang dan tidak menglibatkan sebarang spekulasi terutamanya institusi Raja, Sultan dan Istana.

Negara dikecohkan dengan laporan polis yang dibuat oleh Istana Pahang terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka yang mengikuti kronologi isu ini akan faham kenapa Istana Pahang membuat laporan polis ini namun kepada mereka yang tidak mengikuti perjalanan politik, pasti akan terkejut.

Pada hari Jumaat lalu, di dalam satu klip video LIVE sesi kempen PRK Nenggiri, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan satu kenyataan yang menimbulkan persepsi negatif terhadap keputusan Yang Dipertuan Agong ke-16, berkenaan perlantikan Perdana Menteri ke-10.

"Saya sudah ada sokongan 115, tapi tak tahu mengapa, Yang Dipertuan Agong tidak memanggil saya untuk angkat sumpah jadi Perdana Menteri. Siapa Yang Dipertuan Agong ketika itu? Pahang dakk."

Petikan ucapan ini telah menimbulkan rasa tidak senang rakyat Pahang kerana beliau seolah-olah telah mempersoalkan kredibiliti dan keputusan YDPA ke-16, Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah, Sultan Pahang.

Saya secara peribadi menegaskan bahawa apa yang disampaikan oleh beliau itu merupakan satu pembohongan dan pertikaian kepada keputusan YDPA. Kenapa?

1. Di dalam satu sesi temubual YDPA ke-16 bersama media sempena Keberangkatan Balik YDPA ke-16 awal tahun ini telah jelas menyatakan kronologi penubuhan Kerajaan Malaysia selepas PRU-15.
https://youtu.be/llAS_eBh0FY?si=auirw148SdwjEJg6

2. Di dalam sesi temubual ini jelas menyatakan bahawa YDPA dengan penuh keadilan telah memanggil semua ketua pimpinan parti yang bertanding dalam PRU15 bagi menyatakan prinsip masing-masing terhadap situasi parlimen tergantung kerana tiada satu blok parti yang memperoleh majoriti mudah.

3. Kepimpinan Perikatan Nasional adalah blok parti yang pertama dijemput mengadap YDPA ketika itu. Seterusnya diikuti oleh kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

4. Di dalam pertemuan bersama kepimpinan 3 blok parti yang memperoleh sokongan sebahagian besar pengundi ketika itu, YDPA menyimpulkan bahawa perlu diwujudkan Kerajaan Perpaduan iaitu sebuah kerajaan tanpa blok pembangkang.

5. Selesai mengadap YDPA, kepimpinan Perikatan Nasional sendiri telah membuat satu sidang media dan dengan tegas menolak cadangan yang dikemukakan oleh YDPA.
https://youtu.be/zvJiQUNmamE?si=cAr3tqnf-bPBJf9O

6. Namun berbeza dengan pendirian Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang menjunjung titah YDPA untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

7. Setelah itu, YDPA mendapati bahawa sudah ada satu blok yang memperoleh majoriti mudah apabila blok Pakatan Harapan (82) dan Barisan Nasional (30) bersetuju menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan sokongan asas 112 Ahli Parlimen.

8. Kedua-dua blok parti juga bersetuju mengangkat YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. Namun, YDPA juga menyarankan agar dijemput sekali lagi Perikatan Nasional untuk menganggotai barisan Kerajaan Perpaduan tetapi sekali lagi tawaran itu ditolak dan Perikatan Nasional sedia menjadi pembangkang.

9. YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pula melakukan rundingan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan beberapa parti lain termasuk Sabah dan Sarawak. Akhirnya beliau telah memperoleh sokongan 148 sokongan Ahli Parlimen dan dipersembahkan kepada YDPA.

10. Maka selesailah kemelut politik negara dan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi PM 10 serta diperkukuhkan lagi dengan sokongan 19 parti yang bersetuju bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.

Kenapa pula YB Tan Sri Muhyiddin Yassin confident sangat bahawa Perikatan Nasional mempunyai sokongan majoriti pada awalnya untuk menubuhkan kerajaan dan beliau diangkat sebagai PM 10?

1. Beliau masih bergantung dengan SD. Sedangkan Akta Anti Lompat Parti telah berkuatkuasa dan tiada lagi sokongan secara individu terhadap mana-mana calon Perdana Menteri.

2. Sokongan harus secara blok parti. Tidak boleh hanya sebahagian daripada parti menyokong dan sebahagian lagi tidak.

3. Di dalam pengkiraan Perikatan Nasional mereka mendakwa telah mendapatkan sokongan 10 Ahli Parlimen BN dan ditambah dengan sokongan blok parti dari Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah mereka sokongan mereka adalah 115 melebihi majoriti mudah. Gabungan parti di Sabah dan Sarawak bersetuju menyokong kerana beliau mendakwa bahawa kononnya BN telah memberi sokongan penuh.

4. YDPA mendapati bahawa ini tidak sah kerana tidak semua Ahli Parlimen BN menyokong dan hal ini telah melanggar Akta Anti Lompat Parti.

5. Ditambah pula akujanji calon BN yang akan mengikut ketetapan Pengerusi BN dalam menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak selepas PRU15.

Kesimpulannya, di mana fakta kebenaran YB Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau layak dilantik sebagai Perdana Menteri? Tiada. Sokongan 115 yang diperoleh pun tidak sah disisi undang-undang.

Kita sebagai rakyat Malaysia berasa sangat kecewa dengan tindakan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih mempersoal dan mempertikai akan perkara ini. Sedangkan YDPA menyelesaikan isu ini dengan langkah yang sangat berhati-hati ibarat, "menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak."

Menjunjung titah, semoga pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap isu ini dan mengenakan tindakan tegas terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ia menjadi pengajaran kepada pemain politik di negara ini agar tidak sewenang-wenangnya mengheret Institusi Raja dan Istana di dalam kancah kemelut politik murahan seperti ini.

#pertahanpahang
 
Kredit FB :Fadhil Roslizan 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow