Iran hadapi musuh seperti harimau sembunyikan kuku
Amerika Syarikat (AS) mungkin menjangkakan dapat mencapai objektif peperangan mereka di Iran seperti yang pernah dilakukannya ke atas Iraq pada 2003.
Ketika kempen pencerobohan dilancarkan ke atas Baghdad kira-kira 23 tahun lalu, Washington hanya mengambil masa selama 26 hari untuk melumpuhkan tentera pimpinan Saddam Hussein.
Pemerhati ketenteraan di Teheran melihat bagaimana tentera Amerika berjaya menumbangkan kerajaan Saddam Hussein dalam waktu singkat, namun akhirnya terperangkap dalam konflik berpanjangan akibat pemberontakan dan peperangan gerila.
Bagi Iran, pengalaman perang di Iraq menunjukkan bahawa kelebihan ketenteraan konvensional tidak semestinya menjamin kemenangan jangka panjang. Konflik tersebut membuktikan bahawa kumpulan bersenjata kecil dan rangkaian tempur secara berasingan berupaya menyukarkan pihak lawan menamatkan perang dengan segera.
Tanpa disedari musuh, seorang pegawai kanan tentera di Teheran telah pun mengkaji dengan teliti strategi peperangan di Iraq dan bertekad mahu memastikan Iran tidak mengalami nasib serupa seperti rejim Saddam Hussein.
Beliau ialah Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari, seorang bekas Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang memainkan peranan penting dalam membentuk strategi ketenteraan untuk menghadapi ancaman pencerobohan seperti itu.
Pada 2005, Ali Jafari memperkenalkan doktrin ‘Mosaic Defence’, satu strategi pertahanan yang membolehkan negara itu terus berperang walaupun kepimpinan tertinggi atau pusat arahan diserang musuh. Taktik itu ibarat harimau menyembunyikan kukunya.
Ia menggunakan pendekatan sama seperti Doktrin Auftragstaktik Jerman yang membenarkan anggota bawahan bertindak mengikut budi bicara mereka selagi objektif yang ditetapkan oleh pegawai atasan tercapai.
‘Mosaic Defence’ dilaksanakan berdasarkan andaian bahawa Iran mungkin berdepan serangan berskala besar daripada kuasa ketenteraan yang lebih kuat ketika pemerintah tertinggi berdepan ancaman asing pada pertengahan 2000-an.
Melalui strategi ini, struktur ketenteraan IRGC dipecahkan kepada 31 pusat perintah wilayah yang memiliki kuasa operasi sendiri dan mampu bertindak secara autonomi sekiranya komunikasi dengan kepimpinan pusat terputus.
Ia bertujuan memastikan operasi ketenteraan Iran tidak lumpuh sepenuhnya sekiranya berlaku serangan yang menyasarkan kepimpinan negara atau kemudahan strategik utama.
Penganalisis pertahanan menjelaskan bahawa konsep tersebut dibina berdasarkan idea ‘walaupun kepala dipenggal, tubuh masih boleh bertempur’.
Doktrin ‘Mosaic Defence’ turut menekankan penggunaan taktik perang gerila, serangan dron dan peluru berpandu serta unit tempur kecil yang bergerak pantas bagi memberi tekanan secara berterusan kepada musuh.
Penganalisis keselamatan melihat doktrin tersebut sebagai sebahagian daripada usaha Iran untuk menyesuaikan strategi ketenteraan dengan realiti geopolitik semasa.
Menurut laporan oleh The Soufan Centre, strategi doktrin ‘Mosaic Defence’ menekankan pertahanan berlapis dan tersebar untuk memanfaatkan bentuk muka bumi Iran yang unik.
Walaupun ia tidak memiliki kekuatan konvensional setanding AS atau sekutunya, pendekatan yang bersifat desentralisasi ini membolehkan Iran meningkatkan daya tahan dalam konflik berpanjangan.
Dalam konteks ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat, doktrin tersebut merupakan strategi utama Teheran untuk memastikan pertempuran diteruskan meskipun menghadapi tekanan ketenteraan daripada musuh yang lebih kuat.
Selepas lebih dua dekad, doktrin ‘Mosaic Defence’ kini menjadi tunjang keupayaan bertahan Iran menghadapi serangan bertubi-tubi AS dan Israel.
Apa Reaksi Anda?











