Dr Samsuri Bukan Calon PM - Tuan Ibrahim

Oleh : BARD
Februari 25, 2026 - 14:30 MYT
Dr Samsuri Bukan Calon PM - Tuan Ibrahim

Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) nampaknya lebih daripada sekadar perubahan pucuk pimpinan. Secara rasmi, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar Terengganu itu bukan bertujuan menjadikan beliau sebagai ‘poster boy’ atau calon Perdana Menteri.

Namun, daripada kenyataan beliau, ada nada yang sukar disembunyikan seolah-olah Tuan Ibrahim tidak begitu selesa dengan kedudukan Samsuri yang kini berada di puncak struktur PN.

Menurut Tuan Ibrahim, yang penting ialah Samsuri diterima oleh semua komponen PN untuk mengisi jawatan Pengerusi, tetapi fokus utama parti dan gabungan tetap kepada memperkasakan jentera dan akar umbi di seluruh negara.

“Soal ‘poster boy’ untuk calon Perdana Menteri, itu bukan pertimbangan Pas,” kata beliau dipetik dibeberapa media.

Kenyataan ini boleh ditafsirkan sebagai penekanan bahawa Pas masih mengekalkan kawalan sebenar, dan pelantikan Samsuri lebih bersifat simbolik atau administratif. Nada rasmi Tuan Ibrahim juga menunjukkan sedikit jarak  sambil memuji penerimaan semua komponen PN terhadap Samsuri, beliau tidak menyorot sebarang sokongan peribadi terhadap menteri besar Terengganu itu.

Lebih menarik, selepas pengumuman pelantikan, Tuan Ibrahim menekankan bahawa PN perlu menumpukan perhatian kepada “menyelesaikan masalah dalaman dan luaran gabungan” serta membela isu rakyat. Kata-kata beliau

“Bagi Pas sendiri, tidak perlu calon Perdana Menteri jika jentera parti lemah.”

seolah-olah menegaskan bahawa kepimpinan Samsuri tidak akan mengubah hala tuju sebenar Pas, dan mungkin ada rasa kurang puas hati tentang cara kedudukan baru ini dibentuk.

Dari sisi politik, ini memberi gambaran bahawa walaupun Samsuri secara rasmi kini mengetuai PN, hubungan dengan pimpinan tertinggi Pas mungkin tidak semulus kenyataan rasmi sedikit tensi dalaman mungkin sedang tersimpan di sebalik kata-kata diplomatik Tuan Ibrahim.

PN kini berdepan cabaran untuk mengekalkan kestabilan gabungan, memperkasakan akar umbi, dan membela isu rakyat. Tetapi bagi pemerhati politik, yang lebih menarik ialah dinamika dalaman Pas sendiri, di mana Samsuri mungkin perlu berhati-hati menyeimbangkan pengaruhnya dengan Timbalan Presiden yang jelas mengekalkan kedudukan “penentu” dalam gabungan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow