Israel terus tekan penduduk Palestin

Oleh : PAHANGKU
Disember 9, 2023 - 07:23 MYT
Israel terus tekan penduduk Palestin
Penduduk Palestin memeriksa kemusnahan akibat serangan bom Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

GAZA: Tentera Israel menekan bandar-bandar utama Gaza pada Jumaat, dua bulan selepas serangan Hamas yang mencetuskan perang sehingga menyebabkan kematian beribu-ribu orang.

Semakin ramai penduduk Palestin kini dipaksa berlindung di kawasan yang semakin mengecil kerana Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mahu memperluaskan serangan.

Perang itu juga menyebabkan wilayah Palestin kini musnah tertimbus dalam runtuhan bangunan, dan mencetuskan undian luar biasa PBB untuk menggesa gencatan senjata diisytiharkan segera.

Menurut Hamas, pertempuran selama berminggu-minggu menyebabkan 17,177 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel yang berikrar untuk memusnahkan pejuang Islam itu telah mengebom Gaza tanpa henti dan menghantar kereta kebal dan tentera darat sejak perang bermula pada 7 Oktober lalu, menyaksikan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hamas ke atas Israel selatan.

Pejuang Hamas didakwa membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan tebusan, 138 daripadanya kekal ditawan, kata Israel manakala kawasan Gaza yang luas telah menjadi tanah terbiar.

Seorang kanak-kanak Palestin melihat seorang lelaki memeriksa kemusnahan akibat serangan bom Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

PBB berkata kira-kira 80 peratus penduduk telah hilang tempat tinggal, menghadapi kekurangan makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan selain berdepan ancaman penyakit.

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas melaporkan 40 lagi maut dalam serangan berhampiran Bandar Gaza, dan berpuluh-puluh lagi di Jabalia dan Khan Yunis.

Rakaman langsung AFPTV menunjukkan kepulan asap hitam di utara wilayah itu.

Di Gaza, pertempuran berlaku di sekitar bandar di tengah dan selatan, termasuk Deir al-Balah, di mana ambulans membawa ramai yang cedera.

Lebih jauh ke selatan, di daerah Al-Katiba Khan Yunis, penduduk muncul menyaksikan pemandangan yang sunyi selepas serangan Israel, kata seorang wartawan AFP.

Penduduk Palestin membawa seorang bayi yang menjadi mangsa serangan bom Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pertempuran mendorong penduduk Gaza melarikan diri lebih jauh ke selatan, menjadikan Rafah berhampiran sempadan Mesir sebagai kem yang luas bagi 1.9 juta orang.

Tentera Israel turut mengeluarkan rakaman tentera laut menembak dari Laut Mediterranean ke arah apa yang dipanggil infrastruktur Hamas di pantai.

Video tentera lain menunjukkan apa yang disifatkan sebagai serangan ke atas sasaran Hamas di Khan Yunis.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, tentera berkata ia telah membunuh banyak militan di Khan Yunis, sebahagian daripada pertempuran meluas di Gaza, di mana kira-kira 450 sasaran telah diserang sejak Khamis.

Stesen televisyen Israel menyiarkan rakaman pada Khamis mengenai sekumpulan lelaki disyaki penduduk Palestin, bertutup mata dan hanya memakai seluar dalam serta dikawal oleh tentera Israel di Gaza.

Tentera berkata ia sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Izzat al-Rishq, dari biro politik Hamas, menuduh Israel menangkap sekumpulan orang awam Palestin di sebuah sekolah dan melucutkan pakaian mereka.

Gambar diambil dari Rafah dekat sempadan Mesir menunjukkan kepulan asap dari bangunan yang dibedil tentera Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Sementara itu, agensi kemanusiaan PBB, OCHA berkata pada Khamis, 69 trak yang membawa bekalan kemanusiaan dan 61,000 liter (17,400 gelen) bahan api memasuki Gaza dari Mesir.

"Ini jauh di bawah purata 500 muatan trak, termasuk bahan api, yang memasuki Gaza setiap hari sebelum perang," katanya.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat pada Jumaat selepas Setiausaha Agung Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB, yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun dalam jawatannya selama beberapa dekad.

Artikel itu membenarkan Setiausaha Agung untuk membawa kepada perhatian Majlis apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Namun, berdasarkan perkembangan terbaru, mesyuarat UNSC itu ditangguhkan. - AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow