Matlamat Israel hapuskan Hamas 'ditakdirkan untuk gagal'
GAZA: Sayap tentera Hamas semalam berkata objektif Israel menghapuskan kumpulan pejuang itu 'ditakdirkan untuk gagal', dengan peperangan dicetuskan oleh serangan ke atas Israel sudah berlanjutan selama lebih dua bulan.
Jurucakap Briged al-Qassam, Abu Obeida dalam satu rakaman audio berkata sebarang keputusan bagi pembebasan tebusan yang ditahan di sini bergantung kepada pemberhentian pencerobohan oleh Israel.
Tegasnya, serangan berterusan Israel mahupun 'operasi ketenteraan langsung' tidak akan berjaya untuk membawa pulang tebusan.
"Tidak mungkin tebusan ini dibebaskan hidup-hidup kecuali dengan mengadakan rundingan."
Menurut pihak berkuasa Israel, 129 tebusan masih ditahan di sini.
Abu Obeida berkata 'tiada alternatif' bagi rundingan dan turut memberi amaran bahawa serangan Israel boleh mengakibatkan lebih ramai tebusan terkorban.
Sejurus selepas rakaman jurucakap itu, sayap bersenjata Hamas turut mengeluarkan video memaparkan tiga tebusan, mendakwa mereka terbunuh dalam serangan Israel.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan tentera Israel akan terus memerangi Hamas sehingga ia tidak wujud lagi di Gaza atau mana-mana wilayah lain.
Israel mengekalkan pengeboman dan pertempuran darat dalam bulan ketiga perang paling berdarah di Gaza, yang bermula apabila Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.
Menurut Israel, kumpulan pejuang itu menceroboh pagar sempadan Gaza yang dikawal rapi tentera, membunuh kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam dan menculik kira-kira 250 orang sebagai tebusan. - AFP
Apa Reaksi Anda?











