Orang Asli Nikmati Dividen Lebih Tinggi – Kejayaan ORACO Buktikan Keprihatinan Kerajaan Pahang
Seramai 1,323 peserta Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli di Pahang kini menikmati pendapatan dividen yang jauh lebih tinggi hasil pengambilalihan pengurusan projek oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, peningkatan dividen ini adalah hasil kejayaan pengurusan lebih cekap serta perkembangan positif harga pasaran minyak sawit mentah dunia.
Sehingga 20 Ogos 2025, sebanyak 20 projek TSK dengan keluasan keseluruhan 7,054.05 ekar telah diambil alih oleh ORACO sejak bermula pada September 2024. Pengambilalihan ini menandakan satu langkah besar dalam memastikan masyarakat Orang Asli menerima pulangan setimpal hasil usaha mereka.
Sebelum pengambilalihan peserta hanya menerima sekitar RM100 hingga RM500 seorang sebulan. Namun selepas diuruskan oleh ORACO, pendapatan dividen melonjak secara ketara.
Antara pencapaian paling menonjol:
Projek TSK Teluk Gunung, Lipis – Peserta menerima RM1,037 seorang pada Julai 2025, berbanding sekitar RM500 sebelum ini.
Projek TSK Kampung Arung, Pekan – Bayaran dividen mencecah RM1,000 seorang pada Disember 2024, hanya tiga bulan selepas pengambilalihan.
Projek TSK Kuala Koyan, Lipis – Peserta menerima RM900 seorang pada November 2024, meningkat kepada RM1,000 seorang pada Disember 2024.
Bagi projek yang baharu diambil alih pada Ogos 2025, pembayaran dividen pertama dijadualkan bermula September 2025.
YAB Menteri Besar menegaskan, pencapaian ini membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja prihatin, tetapi juga mampu melaksanakan dasar yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat Orang Asli.
“Dengan pengurusan baharu melalui ORACO, pendapatan dividen peserta meningkat secara konsisten, sekaligus mengangkat taraf hidup mereka ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Kejayaan pengurusan semula TSK ini adalah bukti bahawa Aspirasi Pahang 1st benar-benar diterjemahkan melalui tindakan. Fokus kerajaan negeri adalah kemakmuran bersama, pembangunan inklusif dan memastikan tiada golongan terpinggir, termasuk masyarakat Orang Asli yang sekian lama bergantung pada hasil tanah untuk kelangsungan hidup.
YAB Menteri Besar turut menyeru masyarakat Orang Asli agar terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri dan ORACO.
“Hanya dengan keyakinan serta kerjasama semua pihak, masa depan masyarakat Orang Asli akan lebih terjamin, makmur dan sejahtera,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











