Belum pun RUU URA 2025 dibentangkan di Parlimen, PN/PAS sudah menjerit-jerit kononnya kerajaan Madani zalim, mahu rampas rumah pusaka, paksa orang kampung jual tanah, dan hapuskan identiti setempat. Persoalannya macam mana mereka boleh tahu isi, kelemahan dan kesan sesuatu RUU yang belum pun sampai ke meja Dewan Rakyat? Baca guna ilmu firasat? Atau nampak hantu dalam draf yang belum wujud di mata rakyat? Kalau betul nak bahas kelemahan, tunggulah ia dibentang. Kalau belum apa-apa sudah dihukum, itu bukan hujah, itu namanya politik auta.
Lebih kelakar lagi, PAS buat-buat lupa siapa yang mulakan idea URA ini. Bukan Madani, tetapi Najib Razak (UMNO) pada 2012. Tahun 2013 draf sudah siap. Tahun 2020 Annuar Musa (UMNO) lancar dasar pembaharuan bandar. Tahun 2021 Zuraida (PKR) teruskan. Tahun 2022 Shahidan Kassim (UMNO) sambung ketika PN berkuasa. Masa itu PAS duduk sebantal dalam kerajaan. Ada dengar bantahan? Ada lihat PAS turun ke jalan bela rumah pusaka? Senyap. Diam membisu. Sekarang bila hilang kuasa, tiba-tiba jadi hero kampung, konon paling lantang membela rakyat. Ini bukan perjuangan, ini sandiwara.
Hakikatnya, PAS tahu undang-undang lama 100% persetujuan pemilik adalah mustahil. Rumah pusaka berlapis generasi, seorang sahaja menolak, habislah terbantut. Bandar lama terbiar, nilai jatuh, jadi sarang jenayah. Sebab itu RUU URA turunkan syarat kepada 75% persetujuan untuk kawasan lebih 30 tahun, 51% untuk bangunan usang dan bahaya. Pampasan tetap ikut harga pasaran. Malah ada ruang tuntut faedah tambahan kuota B40, diskaun beli semula unit, kemudahan awam moden. Semua ini boleh diperdebatkan dan diperjuangkan dalam Parlimen. Tapi apa PAS buat? Bukan bawa cadangan pindaan, bukan tambah perlindungan Tanah Rizab Melayu atau wakaf. Mereka pilih jalan paling mudah – tiup kebencian, jual persepsi, cari simpati murahan.
Kesimpulannya, RUU URA 2025 ini bukan undang-undang “merampas rumah rakyat” seperti PAS gembar-gemburkan. Ia dasar lama yang digerakkan sejak BN, disokong PN, dan kini diteruskan Madani. Yang membezakan ialah satu pihak mahu tambah baik melalui perbahasan, manakala PAS lebih suka menakutkan rakyat dengan bayangan hantu. Bila berkuasa, mereka bisu. Bila jadi pembangkang, mereka menyalak. Itulah gaya politik dua muka PAS konon pembela rakyat, hakikatnya cuma penunggang isu.