Program nuklear: Titik tegang AS-Iran

Oleh : BARD
Mac 4, 2026 - 09:00 MYT
Program nuklear: Titik tegang AS-Iran

Komuniti antarabangsa kini memberi tumpuan kepada situasi huru-hara di Asia Barat yang berpunca daripada keraguan melampau Amerika Syarikat (AS) terhadap program nuklear Iran. Ia sering dijadikan alasan utama untuk menjustifikasikan tindakan ketenteraan yang pada kali ini menyasarkan kepimpinan teokratik di Teheran.

Kempen ugutan dan perang retorik dilancarkan Presiden Donald Trump ditambah dengan proses rundingan yang berulang kali gagal mencapai kata sepakat telah membuka ruang kepada Washington untuk menggunakan isu tersebut demi kepentingan strategiknya.

Adakah program nuklear Iran benar-benar satu ancaman besar kepada keselamatan Washington dan seluruh dunia atau ia sekadar isu geopolitik yang sengaja dipolitikkan?

Program nuklear Teheran sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Ia bermula sejak era 1950-an di bawah pemerintahan monarki terakhir, Shah Mohammad Reza Pahlavi dengan sokongan Barat melalui inisiatif ‘Atoms for Peace’. Namun, selepas kebangkitan Revolusi Islam 1979, hubungan Iran dengan Barat merosot dan program nuklearnya lebih tertutup serta penuh kerahsiaan.

Teheran secara konsisten menegaskan bahawa programnya bertujuan untuk kegunaan aman seperti penjanaan tenaga elektrik, penyelidikan perubatan dan pembangunan sains.

Tetapi, kebimbangan timbul apabila Iran dikatakan meningkatkan tahap pengayaan uranium, satu proses yang boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api tenaga nuklear dan senjata nuklear jika diperkaya ke tahap tinggi.

Pada 2015, Iran memeterai perjanjian bersama kuasa dunia melalui Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) sebagai usaha untuk mengehadkan aktiviti nuklear mereka dan sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan ekonomi.

Bagaimanapun, ketegangan kembali meningkat apabila AS di bawah pentadbiran Trump menarik diri daripada perjanjian tersebut dan Teheran didakwa secara beransur-ansur mengurangkan pematuhannya terhadap had yang telah dipersetujui di bawah JCPOA.

Bagi Washington dan sekutunya, kebimbangan utama tentang potensi Iran untuk menghasilkan senjata nuklear dalam masa yang singkat. Keupayaan memperkaya uranium ke tahap hampir ‘gred senjata’ bermaksud tempoh yang diperlukan untuk menghasilkan bahan bagi satu bom nuklear mungkin menjadi lebih pendek.

Bagi AS, sekiranya Iran memiliki senjata nuklear, ia akan mengubah keseimbangan kuasa di Asia Barat dan meningkatkan risiko konflik dengan sekutu mereka seperti Israel yang turut menjadi batu api di sebalik krisis terbaharu Teheran-Washington.

Selain itu, AS juga bimbang jika ia bakal mendorong negara lain untuk membangunkan program serupa, sekali gus mencetuskan perlumbaan senjata nuklear serantau.

Sekiranya Iran benar‑benar membangunkan senjata nuklear, kesannya bukan sahaja dirasai di Asia Barat tetapi juga di seluruh dunia termasuk ketidakstabilan pasaran tenaga global kerana rantau itu merupakan pengeluar minyak utama dan peningkatan risiko konflik berskala besar yang berpotensi melibatkan kuasa besar dunia.

Kesan paling ketara adalah kemerosotan sistem kawalan senjata antarabangsa yang telah dibina sejak Perang Dingin.

Secara keseluruhannya, program nuklear Iran kekal sebagai salah satu isu keselamatan antarabangsa paling sensitif ketika ini. Walaupun tiada bukti kukuh Iran sedang membina senjata nuklear, keupayaan teknikal untuk memperkaya uranium ke tahap tinggi sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan besar terutamanya kepada AS.

Oleh itu, penyelesaian jangka panjang bergantung kepada usaha diplomasi berkesan, ketelusan program nuklear tersebit dan kerjasama antarabangsa yang bersepadu.

Tanpa pendekatan diplomatik yang kukuh, isu tersebut akan terus menjadi sumber ketegangan yang berpotensi menggugat keamanan serantau dan global.

INFO

>Program nuklear Iran telah bermula sejak beberapa dekad lalu dengan beberapa aktiviti penyelidikan awal dijalankan di bawah pengawasan AS.

>Menjelang pertengahan 1980-an, Teheran mula membangunkan atau memperoleh teknologi yang diperlukan untuk membina pengempar bagi memperkayakan uranium melalui pasaran gelap.

>Tekanan antarabangsa meningkat bermula tahun 2002 apabila sebuah kumpulan antikerajaan mendakwa Iran membina dua kemudahan nuklear secara rahsia. Ketika itu, Presiden ke-43 AS, George W Bush menuduh Teheran sedang membangunkan peluru berpandu yang berupaya membawa senjata nuklear. Kumpulan saintis terkemuka Iran yang terlibat projek nuklear kemudiannya menjadi sasaran pembunuhan pihak musuh.

>Sehingga 2003, Iran dikatakan mempunyai ‘program tersusun’ untuk melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan alat letupan nuklear.

>Pada 2015, pentadbiran Presiden ke-44 AS, Barack Obama dan kuasa besar global menandatangani perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dengan Iran bagi mengehadkan simpanan uranium mereka dan kapasiti program pengayaan untuk tempoh masa ditetapkan.

>Tiga pusingan rundingan AS-Iran sejak bulan lalu gagal mencapai sebarang kata putus, sekali gus meningkatkan risiko perang terbuka lebih ganas berbanding tahun lalu.

>Negara yang mempunyai senjata nuklear:

1.Amerika Syarikat (AS)

2.Rusia

3.United Kingdom (UK)

4.Perancis

5.China

6.India

7.Pakistan

8.Israel (Tel Aviv tidak sahkan atau nafikan secara rasmi)

9.Korea Utara

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow