Gaza terus bermandi darah, penduduk sabung nyawa cari perlindungan
GAZA: Tentera Israel terus menyerang bandar utama di selatan Gaza semalam tanpa mempedulikan nyawa penduduk Gaza yang kini tiada tempat untuk berlindung.
Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran berlaku kerosakan menyeluruh dalam ketenteraman awam selepas hampir dua bulan perang tercetus, regim Zionis semakin nekad meningkatkan serangan.
Saksi berkata, tentera Israel yang menggunakan kereta kebal, pengangkut kakitangan berperisai dan jentolak kini bergerak jauh kedalam Khan Yunis, bandar kedua terbesar di Gaza, sekali gus memaksa orang awam yang dipindahkan ke situ kembali melarikan diri.
Sumber Hamas dan satu lagi kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam, memberitahu AFP bahawa mereka sedang berjuang untuk mengawal serangan di bandar itu.
Sementara itu , tentera Israel berkata, mereka sudah menembusi barisan pertahanan dan melakukan 'serbuan yang disasarkan di tengah-tengah bandar', malah menemui dan memusnahkan 30 terowong didakwa milik Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video, berkata tentera Israel sedang menghampiri rumah ketua Hamas, Yahya Sinwar, dengan seorang jurucakap mengesahkan ia di 'bawah tanah' di kawasan Khan Yunis.
Sinwar menjadi sasaran penting kerana didakwa dalang utama yang merancang dan melaksanakan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
"Kami kecewa, mental penat. Kami memerlukan seseorang untuk mencari penyelesaian supaya kami dapat keluar dari malapetaka ini," kata penduduk Khan Yunis, Amal Mahdi, yang terselamat daripada serangan Israel, semalam.
Angka terbaharu kerajaan Hamas menunjukkan, sebanyak 16,248 mangsa di wilayah Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam perang itu.
Menurut data PBB, sebahagian besar bahagian utara Gaza sudah pun menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat pertempuran dan pengeboman sengit, menyebabkan 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Dengan usaha penghantaran bantuan terhenti, beberapa badan PBB kini turut merayu supaya gencatan senjata dan pembebasan tebusan dilaksanakan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata beliau menjangkakan 'ketenteraman awam akan rosak sepenuhnya tidak lama lagi disebabkan keadaan terdesak' di Gaza, dengan 'kesan yang mungkin tidak dapat dipulihkan untuk rakyat Palestin secara keseluruhan'.
Ketua hak asasi PBB, Volker Turk, pula memberi amaran mengenai 'kengerian yang lebih mendalam' bagi rakyat Gaza yang kini 'dihukum secara keseluruhan'.
Sementara itu, pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) pula menyatakan komitmen menyokong negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara selepas mesyuarat maya berlangsung.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan Hamas mengesahkan, seramai 17 maut dan puluhan lagi cedera lewat semalam selepas serangan di daerah kediaman di Rafah dengan seorang wartawan AFP melihat mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak, dibawa ke hospital tempatan di Kuwait.
Rangkaian televisyen Al-Jazeera pula berkata, salah seorang wartawannya kehilangan 22 ahli keluarga dalam mogok di kem pelarian utara Jabalia. - AFP
Apa Reaksi Anda?











