Majlis Kerajaan Bukan Lesen Untuk Langgar Pekeliling, Nilai Budaya
UMNO Kedah memandang serius laporan mengenai penganjuran majlis rasmi kerajaan yang didakwa melibatkan hidangan minuman keras.
Menurut Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana acara rasmi yang membawa nama dan imej kerajaan.
“UMNO Kedah ingin menegur dengan tegas kementerian dan Ketua Setiausaha (KSU) agar lebih berperanan secara langsung (hands-on) dalam memastikan setiap majlis mematuhi pekeliling dan tatacara rasmi kerajaan yang telah ditetapkan.
“Pekeliling ini bukan sekadar dokumen pentadbiran, tetapi garis panduan yang mencerminkan disiplin, profesionalisme dan nilai budaya Malaysia.
“Status majlis antarabangsa tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan pekeliling atau menormalisasi tindakan yang bertentangan dengan adat dan sensitiviti masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shaiful Hazizy, Malaysia memiliki acuan tersendiri dalam menonjolkan imej dan daya tarikan pelancongan yang berasaskan nilai budaya, kesantunan, serta keunikan tempatan yang diiktiraf dunia.
Katanya lagi, UMNO Kedah menegaskan bahawa tiada mana-mana pegawai atau kementerian boleh sewenang-wenangnya melanggar pekeliling kerajaan atas alasan apa sekalipun.
“Jika benar berlaku, pihak berkaitan perlu bertanggungjawab dan memberikan penjelasan segera kepada rakyat.
“Kerajaan perlu menunjukkan contoh terbaik dan bukan membuka ruang kepada persepsi bahawa nilai dan garis panduan rasmi negara ini boleh dipandang ringan,” kata Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok.
Justeru katanya, UMNO Kedah berharap perkara seperti itu tidak berulang lagi dan mendesak supaya kementerian berkenaan mengambil tindakan pembetulan serta penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap semua agensi di bawahnya.
Apa Reaksi Anda?











