Orang Asli, Tanah Sultan dan Politik Murahan
Isu 21 individu Orang Asli ditahan di Rompin baru-bru ini ini mendapat perhatian rakyat. Belum pun habis orang baca laporan penuh, sudah ada yang siap tulis skrip penindasan, siap tuding jari kononnya kuasa digunakan sesuka hati oleh pentadbiran kerajaan negeri Pahang.
Masalahnya, kita terlalu cepat marah sebelum kita semak fakta.
Kes ini bermula dengan laporan pencerobohan di sebuah ladang kelapa sawit yang diusahakan secara sah. Ada dakwaan buah sawit dipotong, palang besi dirosakkan. Bila laporan dibuat, polis bertindak mengikut prosedur.
Seksyen 447 Kanun Keseksaan memang wujud untuk kes pencerobohan. Undang-undang itu tak tanya siapa kamu sebelum ia terpakai. Ia tak ada klausa “kalau rasa teraniaya boleh masuk dulu, bincang kemudian”. Negara tak boleh berfungsi macam itu.
Kemudian muncul pula naratif tanah adat. Diulang-ulang sampai orang yang tak biasa dengan undang-undang tanah pun mula percaya seolah-olah semua tanah yang diduduki turun-temurun automatik jadi milik mutlak.
Hakikatnya di Pahang tak ada pewartaan Tanah Adat seperti di Sarawak. Pentadbiran tanah negeri ini tertakluk kepada undang-undang yang jelas. Kalau konsep “kami sudah lama di sini” dijadikan asas pemilikan tanpa dokumen sah, habislah sistem. Esok lusa semua orang boleh tuntut mana-mana kawasan atas alasan sejarah keluarga.
Ini bukan soal menafikan hak Orang Asli. Mereka ada hak. Dan kalau ada tuntutan sah, mahkamah adalah tempatnya. Banyak kes sebelum ini pun diputuskan di mahkamah. Sistem itu ada. Saluran itu ada.
Tapi bezakan antara menuntut hak dengan mengambil tindakan sendiri.
Yang peliknya, ada juga yang terus menyalahkan Menteri Besar seperti video Tiktok yang tular yang menggunakan nama “CEO Politik OKU”. Seolah-olah setiap laporan polis datang dengan cop arahan politik. Ini jenis politik yang malas buat kerja rumah. Semua benda nak dipolitikkan. Semua isu nak dipusing jadi bahan serangan.
Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh bincang soal dasar tanah, soal kebajikan komuniti Orang Asli, soal pendekatan kerajaan. Tapi jangan sampai kita normalisasikan pencerobohan hanya kerana pelakunya datang daripada kelompok yang mudah mendapat simpati.
Undang-undang tak boleh ikut musim. Hari ini kita longgarkan sebab simpati, esok kita tak ada moral authority untuk bertindak bila kes lain berlaku.
Tegas bukan bermakna zalim. Menjaga hak milik yang sah bukan bermaksud menindas sesiapa. Kalau benar ada pertikaian, selesaikan secara sah. Cabar di mahkamah. Bawa bukti. Gunakan saluran yang ada.
Negara ini berdiri atas undang-undang, bukan atas siapa paling lantang menjerit di Facebook.
Kalau kita mula pilih-pilih siapa patut patuh undang-undang dan siapa boleh dikecualikan, sebenarnya kita sedang buka pintu kepada huru-hara yang lebih besar.
Dan akhirnya, yang rugi bukan satu pihak sahaja tetapi seluruh sistem yang kita sama-sama bergantung padanya
Apa Reaksi Anda?











