Pemberhentian perang Israel-Palestin dilanjutkan sehari
BAITULMAQDIS: Israel dan Hamas hari ini bersetuju melanjutkan pemberhentian perang selama sehari lagi, enam minit sebelum perjanjian pemberhentian perang selama enam hari sebelum ini tamat.
Tentera Israel, dalam kenyataan berkata pemberhentian perang akan berterusan selagi kumpulan pengantara berusaha membebaskan lebih ramai tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di Israel.
Pemberhentian perang pertama yang diisytiharkan selama empat hari dan dilanjutkan dua hari lagi itu membawa kelegaan kepada penduduk Gaza yang menghadapi pengeboman bertubi-tubi sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.
"Susulan usaha pengantara untuk meneruskan proses membebaskan tebusan tertakluk kepada terma rangka kerja, pemberhentian perang akan diteruskan sehari lagi," menurut kenyataan Israel.
Hamas, yang membebaskan 16 tebusan sebagai pertukaran untuk 30 tahanan Palestin semalam, dalam kenyataan pemberhentian perang akan diteruskan untuk hari ketujuh.
Sebelum ini, kumpulan pejuang itu berkata Israel enggan menerima tujuh lagi wanita dan kanak-kanak serta mayat tiga tebusan lain sebagai pertukaran untuk melanjutkan gencatan senjata.
Kedua-dua pihak berkata mereka bersedia untuk meneruskan pertempuran, malah Hamas sudah mengarahkan pejuangnya bersiap sedia sebelum persetujuan dicapai hanya enam minit sebelum perjanjian terdahulu tamat.
Satu sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang Palestin, berkata sayap bersenjata Hamas sudah menyerahkan satu lagi kumpulan tebusan Israel kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Semenanjung Gaza pada Rabu.
Sumber itu tidak menyatakan jumlah tebusan yang terbabit dalam pertukaran terbaharu itu dan tiada pengesahan segera daripada Israel bahawa kumpulan itu bebas.
Ia akan menjadi kumpulan keenam yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata yang dikendalikan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
Hamas juga berkata, ia membebaskan dua tebusan wanita dengan kewarganegaraan Russia.
Setakat ini, berdasarkan angka yang disahkan, 60 tebusan warga Israel dan 180 tahanan Palestin dibebaskan dibawah perjanjian pertukaran tebusan untuk tahanan.
Hamas juga membebaskan lebih 20 tebusan lain di luar skop perjanjian, kebanyakannya warga Thailand. - AGENSI
Apa Reaksi Anda?











