Pijak Al-Quran Satu Penghinaan Serius, Jangan Biarkan Berlalu Tanpa Hukuman

Oleh : BARD
Mac 4, 2026 - 11:00 MYT
Pijak Al-Quran Satu Penghinaan Serius, Jangan Biarkan Berlalu Tanpa Hukuman

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri, mengecam sekeras-kerasnya perbuatan memijak al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh individu terbabit.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan satu penghinaan yang amat serius terhadap agama Islam serta perbuatan biadab yang jelas mencalar kesucian kitab suci itu. Malah, perbuatan berkenaan disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang sangat menyentuh sensitiviti dan perasaan umat Islam di negara ini.

“Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, serta menggugat keharmonian yang telah lama kita bina bersama.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan adil berdasarkan undang-undang sedia ada. Mana-mana individu yang didapati bersalah mesti dikenakan hukuman yang setimpal agar menjadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan sekadar menyentuh sensitiviti umat Islam, malah melibatkan maruah agama dan institusi yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, setiap rakyat mesti menghormati batas agama dan budaya antara satu sama lain. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina atau mencetuskan provokasi yang boleh merosakkan perpaduan nasional,” katanya.

Menurut beliau lagi, tindakan pantas dan telus daripada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan negara.

“Kerajaan dan agensi penguat kuasa perlu menunjukkan ketegasan tanpa pilih kasih. Undang-undang mesti ditegakkan secara adil agar mesej jelas dihantar bahawa sebarang penghinaan terhadap agama tidak akan dikompromi.

“Kita mahu keadilan ditegakkan, tetapi dalam masa yang sama keamanan dan perpaduan rakyat mesti terus dipertahankan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang. Serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita semua bertanggungjawab menjaga keamanan negara. Hormatilah setiap agama dan peliharalah perpaduan demi masa depan yang aman dan harmoni. 

Terdahulu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan pada 25 Februari lalu kerana didakwa atas kesalahan menghina Islam dengan memijak al-Quran serta penggunaan tidak wajar kemudahan internet.

Semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan memohon dibicarakan. Bagi pertuduhan pertama yang dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran dengan memijaknya, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam.

Bagi pertuduhan kedua, dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan satu komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads. 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow