Sultan Pahang Dukacita Insiden Hina al-Quran: “Diam Bukan Pilihan”
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal terhadap insiden yang mencetuskan keresahan masyarakat, termasuk kes seorang penuntut IPTA yang didakwa memijak al-Quran.
Baginda menegaskan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja biadab, malah merupakan penghinaan besar yang menggores hati umat Islam dan menggugat keharmonian masyarakat.
“Apabila al-Quran dipijak, yang tercalar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat Islam. Dalam keadaan agama dihina, diam bukanlah pilihan,” titah baginda.
Titah itu disampaikan pada Majlis Perasmian Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Felda Jengka 19.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat dengan ungkapan terkenal ulama Nusantara, Buya Hamka: “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”
Namun baginda menegaskan kata-kata itu bukan seruan keganasan, sebaliknya peringatan bahawa mempertahankan maruah agama adalah tanggungjawab iman.
Baginda menekankan bahawa ketegasan perlu selari dengan hikmah, adab dan undang-undang.
“Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun tindakan balas yang meruntuhkan keamanan juga tidak boleh diterima. Menang jadi arang, kalah jadi abu.”
Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Pahang, baginda menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama.
“Biar mati anak, jangan mati adat. Adat paling utama di negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan.”
Baginda menekankan bahawa mempertahankan Islam tidak bermaksud menidakkan hak penganut agama lain. Negeri Pahang, tegas baginda, dibina atas semangat hidup bersama dan prinsip keadilan.
Baginda menyeru umat Islam kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dibaca, difahami dan diamalkan.
“Jadikan al-Quran cahaya dalam kegelapan dan benteng menghadapi fitnah akhir zaman.”
Di akhir titah, baginda mendoakan agar negeri ini dipelihara daripada perpecahan serta menyeru rakyat memperkukuh iman dan bersatu dalam mempertahankan agama dengan cara yang benar.
Apa Reaksi Anda?











