Teladani ibrah Ramadan sebelum sambut Syawal

Oleh : BARD
Mac 28, 2025 - 12:00 MYT
Teladani ibrah Ramadan sebelum sambut Syawal

Kurang tiga hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut Syawal, tanda kemenangan setelah hampir sebulan menahan lapar dan dahaga.

Sudah pasti anak-anak perantau sudah mula bercuti untuk melakukan persiapan meraikan hari perayaan selain merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Maka sesi meluah perasaan di laman sosial juga dijangka membanjiri halaman media sosial ekoran tersangkut dalam kesesakan luar biasa di jalan-jalan utama dan lebuhraya keluar dari ibu kota.

Sebagai rekod, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganggarkan dua juta kenderaan memasuki Kelantan Aidilfitri nanti.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dilaporkan berkata, kemasukan itu membabitkan tiga laluan masuk ke Kelantan iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

Malah katanya, trafik dijangka sesak di semua laluan bermula hari ini (28 Mac) memandangkan kebanyakannya sudah bercuti.

Kemeriahan Aidilfitri kini kian terasa, ibu kota terutama Kuala Lumpur sudah mula sedikit lengang berbanding hari-hari biasa.

Syawal yang bakal tiba nanti bukan sekadar sebagai bulan meraikan kemeriahan dan kemenangan, tetapi sebagai medan untuk menguji sejauh mana keberhasilan tarbiah Ramadan dalam diri manusia.

Malah kejayaan sebenar Ramadan tidak diukur pada berapa banyak juadah yang terhidang di atas meja pada pagi hari raya, tetapi sejauh mana hati masih merindui ibadah yang menjadi rutin sepanjang bulan penuh keberkatan itu.

Selain melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga, kita juga mengelakkan diri dari sifat negatif seperti amarah, hasad dengki dan tutur kata yang tidak berfaedah.

Selain itu ibadah yang dilipatgandakan ganjaran seperti solat tarawih, tadarus al-Quran dan bersedekah turut menjadi rutin harian yang dirasai keindahannya.

Namun adakah kita mampu mengekalkan momentum ini selepas berakhirnya Ramadan.

Jika sebelum ini kita berusaha untuk khatam kalam suci dalam masa sebulan, teruskan amalan itu, sekurang-kurangnya beberapa halaman sehari sepanjang tahun.

Di samping itu, amalan bersedekah juga tidak sepatutnya ditinggalkan kerana jika pada Ramadan kita begitu bermurah hati menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, mengapa tidak diteruskan sahaja perbuatan itu.

Bersedekah bukan sahaja membantu meringankan beban orang lain, tetapi menyucikan harta dan jiwa.

Ramadan juga telah melatih kita menjaga akhlak dan memperbaiki hubungan sesama manusia dengn menjaga lidah daripada berkata yang tidak baik, menahan amarah serta memaafkan kesilapan orang lain.

Sebaiknya diunjurkan untuk terus mengekalkan keindahan akhlak berkenaan sebagai tanda Ramadan benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa.

Perlu ditanam dalam diri bahawa ibrah daripada bulan suci itu perlu diteladani sepanjang masa dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja.

Kita digalakkan untuk terus istiqamah serta bersederhana dalam apa jua perkara terutama ketika menyambut Aidilfitri.

Dalam menyambut Syawal pula, kita diajar untuk mengeratkan silaturahim melalui amalan ziarah dan saling bermaafan.

Budaya ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan ukhuwah, namun jangan jadikan ia sebagai amalan bermusim.

Meskipun sudah menjadi kebiasaan orang ramai memperuntukkan sejumlah wang bagi menyediakan kelengkapan perayaan, dijingatkan agar tidak terikut-ikut dengan gaya berlebihan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk.

Ada pula yang sanggup membuat pinjaman kewangan bagi memenuhi kehendak peribadi.

Seharusnya Ramadan yang menjadi pelopor membentuk disiplin diri perlu disuburkan agar terus membuahkan amalan berterusan sepanjang tahun.

Ibrah daripada bulan itu tidak akan bermakna sekiranya kita kembali kepada rutin lama selepas ia berlalu.

Terapkan dalam diri dan beristiqomah meneruskan alaman terpuji, mudah-mudahan Syawal yang dirai benar-benar membawa erti kemenangan.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow