UMNO 80 Tahun: Langkah ‘Reset’ BN Ke Arah Keterbukaan
Podcast ‘Hitam Putih Kelabu’ yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, menampilkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang berpandangan bahawa usia 80 tahun UMNO merupakan langkah terbaik untuk ‘reset’ semula BN ke arah keterbukaan.
Ujarnya, tidak sukar untuk menterjemahkan konsep Rumah Bangsa UMNO kepada Rumah Bangsa Malaysia dalam konteks BN kerana parti itu telah lama mengamalkan kemajmukan.
“Seperti yang kita ketahui, UMNO itu sendiri adalah teras dalam BN dan konsep Rumah Bangsa itu juga merupakan refleksi kepada BN… yang ada itu adalah sebuah rumah Malaysia; bangsa-bangsa dalam negara kita dapat bersama.
“Jadi, untuk kita terjemahkan daripada Rumah Bangsa UMNO kepada Rumah Bangsa Malaysia dalam konteks BN, saya fikir tidak sukar kerana kita sudah mengamalkannya selama ini. Cuma bagaimana kita nak memperkukuhkannya lagi.
“Kalau dulu pada awalnya kita ada 13 parti termasuk Sabah dan Sarawak. Cuma pada hari ini mungkin ada parti-parti lain yang ingin masuk dan sebagainya. Ini memerlukan adanya keterbukaan dalam kalangan ahli-ahli BN,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan bahawa BN bukan sahaja disertai oleh parti-parti politik malah badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil.
“Apabila bercakap tentang Friends of BN, itulah sebenarnya maksud Rumah Bangsa Malaysia. Malah kita semua sedia maklum bahawa BN ini bukan hanya melibatkan parti, tetapi juga NGO dan ‘civil society’. Mereka juga ingin berada di dalam rumah BN ini.
“Jadi ini adalah satu perkembangan yang menarik. Mungkin 80 tahun UMNO ini boleh menjadi satu langkah ‘resetting’ BN ke arah keterbukaan. Benar, itu antara perkara yang kita lihat.
“Kita sudah pun meraikan 50 tahun BN pada tahun lalu dan saya yakin bahawa 80 tahun UMNO ini akan membuka langkah yang lebih luas lagi untuk BN,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Zambry berpandangan bahawa naratif UMDap yang dimainkan oleh pihak lawan adalah disebabkan mereka tidak mempunyai senjata ampuh lain untuk menyerang UMNO/BN.
“Kita tahu bahawa isu ini melibatkan perkara sensitif kepada sebuah parti yang selama ini dianggap sebagai musuh politik UMNO. Kumpulan ini, saya percaya bukan hanya melibatkan parti pembangkang, tetapi juga mereka merasakan tidak selesa dengan kerjasama kita bersama Pakatan Harapan (PH).
“Walhal kita pun tahu bahawa parti yang hari ini membawa ‘UMDap’ sebagai bahan politik ini sebenarnya pernah berada dalam kerjasama yang sama. Bukan sekali, tetapi dua kali.
“Bagi saya, ini lebih kepada alat atau senjata yang paling ampuh digunakan dalam keadaan sekarang, apabila mereka tidak mempunyai banyak perkara lain untuk diketengahkan. Sebagai contoh, mereka tidak dapat mengemukakan agenda-agenda besar yang konstruktif,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











