ABT: Pahang Berani Dedah, Kenapa Terengganu Sembunyikan Laporan?
Cubaan Pemuda PAS Pahang menimbulkan persepsi negatif terhadap laporan “Kedudukan Akaun Belum Terima (ABT) Tahun 2024” jelas memperlihatkan kelemahan hujah dan ketandusan fakta. Mereka menyerang tanpa faham konteks, sekadar mahu mencipta persepsi kononnya kerajaan negeri Pahang lemah mengutip hasil.
Hakikatnya, Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang dua kali ganda lebih luas daripada Kelantan, hampir tiga kali ganda lebih besar daripada Terengganu. Dengan saiz dan aktiviti ekonomi sebesar itu, sudah tentu jumlah rekod tanah dan hasil lebih banyak untuk diurus. Lebih banyak hasil bermakna lebih banyak transaksi belum selesai bukan kegagalan, tapi tanda ekonomi berkembang dengan pesat.
Apa yang mereka tonjolkan sebagai “tunggakan”, sebenarnya adalah rekod teknikal, iaitu proses semakan akaun lama, pelarasan premium tanah dan tindakan undang-undang yang sedang berjalan. ABT tinggi bukan tanda salah urus, tapi bukti ketelusan. Ia menunjukkan semua hasil direkod dan diaudit secara terbuka, tidak disorok di bawah karpet seperti yang biasa berlaku di negeri seperti Terengganu.
Sebaliknya, cuba kita tanya, kenapa Terengganu langsung tidak melaporkan jumlah ABT 2024 mereka? Apa yang mahu disembunyikan? Jika Pahang berani melaporkan setiap sen hasil yang masih dalam proses kutipan, kenapa Terengganu menyembunyi laporan seperti yang ditegur oleh Jabatan Audit Negara?
ABT bermaksud wang itu ada, cuma belum diterima sepenuhnya. Tapi kalau akaun itu tidak wujud atau tidak dilaporkan, persoalan lebih besar timbul, ke mana perginya wang sebenar negeri Terengganu itu?
Jangan lupa, negeri seperti Kelantan dan Terengganu hidup atas talian hayat Dana Khas Petroleum dan Wang Ehsan daripada Kerajaan Persekutuan. Tanpa bantuan itu, hasil sendiri mereka terlalu kecil. Maka tidak hairanlah ABT rendah bukan kerana cekap mengutip, tapi kerana tiada hasil yang hendak dikutip.
Sementara itu, hasil tanah, perlombongan dan pembalakan menjadi nadi ekonomi sebenar yang berkembang di Pahang. Pelabur datang kerana percaya pada kestabilan politik dan tadbir urus ekonomi yang jelas. Pasaran hartanah melonjak, projek pelaburan terus masuk, ini bukti bahawa keyakinan pelabur terhadap Pahang kekal meningkat.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri, Kelantan negeri yang ditadbir PAS selama lebih 30 tahun masih gagal menyelesaikan tunggakan ABT sejak 1967 berjumlah RM167 juta.
Siapa sebenarnya yang gagal mengutip hasil?
Yang gagal hanyalah mereka yang tidak berani melaporkan kebenaran!
Apa Reaksi Anda?











