BERSATU dipanah karma politik

Oleh : BARD
November 5, 2025 - 14:00 MYT
BERSATU dipanah karma politik

Kemelut yang melanda BERSATU ketika ini bukan sekadar soal perebutan kuasa tetapi cerminan kepada krisis kepercayaan dan disiplin dalam sebuah parti yang pernah mengangkat slogan perjuangan Melayu dan integriti.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr A Aziz Azizam, berkata BERSATU sebelum ini pernah melalui pergolakan dalaman yang menyaksikan keahlian pengasas utamanya, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pengasas awal parti itu "diberhentikan" keahlian mereka, demi kepentingan dan kedudukan tertentu ketika itu.

Bagaimanapun hari ini katanya, parti yang sama sedang berdepan nasib hampir serupa, kali ini apabila Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjadi bahan desakan untuk berundur.

"Secara umumnya, ramai melihat keadaan ini sebagai suatu bentuk karma politik terhadap parti itu sendiri, seolah-olah apa yang pernah dilakukan dahulu kini berbalik kepada mereka.

"Sama ada ini benar-benar karma atau sekadar ujian politik, segalanya bergantung kepada bagaimana BERSATU memilih untuk menulis semula naratifnya selepas badai ini berlalu," katanya, mewakili badan bukan kerajaan (NGO) luar negara di bawah BERSATU 1.0 dalam kenyataan, hari ini.

BERSATU kini bergolak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada parti, selain pemecatan beberapa Ketua Bahagian pada 14 Oktober lalu berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Muhyiddin.

Baru-baru ini, dua lagi pemimpin tertinggi, iaitu Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Khaliq Mehtab Ishaq, masing-masing turut disingkirkan daripada jawatan Pengerusi PN Pahang dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Aziz yang juga Pengasas Kelab Bunga Raya, sayap luar negara BERSATU ketika diterajui Dr Mahathir berkata, dua tahun lalu, Muhyiddin pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden, namun ketika itu ramai pemimpin dan ahli tampil menyatakan solidariti dan memujuk beliau supaya terus kekal memimpin parti.

Ironinya kata beliau, sebahagian daripada mereka yang dahulunya mempertahankan Muhyiddin kini mendesak supaya pemimpin itu melepaskan jawatan.

"Ada yang berpandangan langkah Muhyiddin berundur mungkin membawa kebaikan kepada parti kerana beliau kini berdepan kes mahkamah yang berpotensi menjejaskan imej BERSATU.

"Jika beliau berundur sementara waktu, parti itu mungkin dapat menonjolkan imej yang lebih telus, berdisiplin dan berprinsip, sementara proses perundangan beliau berjalan.

"Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar adalah siapakah yang mampu memimpin BERSATU keluar daripada kemelut ini?

"Walaupun mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) semalam kelihatan tenang, namun hakikatnya, gelombang ketidakpuasan hati masih jelas dirasai di akar umbi. Wujudnya kelompok yang bertindak sebagai "rabble-rouser" (penghasut) menunjukkan parti ini masih mencari arah kepemimpinan yang mantap dan diyakini," katanya.

Aziz berkata, konflik itu juga akan menguji kebijaksanaan BERSATU dalam mengurus perbezaan pendapat secara dalaman.

"Jika krisis ini dapat diselesaikan dengan baik, mereka yang menjadi pengadu awal, seperti Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal mungkin akan dilihat sebagai pihak yang tersilap langkah dan menanggung persepsi negatif sepanjang karier politik mereka.

"Bagaimanapun, jika ternyata mereka berada di pihak yang benar, parti wajar memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada mereka, termasuk kedudukan yang lebih tinggi dalam kepemimpinan," katanya.

Malam tadi, ketika ditemui selepas mesyuarat MPT BERSATU di Petaling Jaya, Muhyiddin memaklumkan, Ahli MPT bersetuju untuk menghentikan kemelut yang melanda parti berkenaan.

Katanya, buat masa ini kepimpinan parti hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan dan mencari jalan penyelesaian dalam kadar segera.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow