Armada Bersatu Sabah Retak – 15 Pemimpin Angkat Kaki, Bukti Parti Ini Semakin Hilang Arah
Nampaknya kapal Bersatu makin hari makin bocor. Di Sabah, seramai 15 pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu hari ini bertindak keluar parti serta-merta. Bukan ahli biasa, tetapi barisan kepimpinan yang selama ini menjadi wajah anak muda parti itu di negeri tersebut.
Ketua Armada Bersatu Sabah, Mohd Hisyam Hazaril Mohd Azman sendiri mengetuai langkah keluar itu. Bersama beliau, beberapa pimpinan Armada dari kawasan seperti Tuaran, Sepanggar, Pensiangan, Keningau, Papar, Tawau, Putatan dan Beluran turut melepaskan jawatan serta meninggalkan parti.
Ini sudah jadi tanda jelas bahawa Bersatu semakin berpecah dari dalam.
Alasan yang diberikan juga bukan kecil. Mereka menyatakan kecewa dengan kemelut dalaman parti yang semakin meruncing, selain budaya kepimpinan yang gemar menyerang sesama sendiri secara terbuka.
Menurut Mohd Hisyam, konflik yang berpanjangan itu bukan sahaja mencalarkan imej parti, malah semakin menghakis keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah mereka laungkan dulu.
Lebih pedih, mereka turut membangkitkan soal tindakan disiplin yang tidak konsisten dan bersifat pilih kasih. Dalam bahasa mudah, siapa yang rapat dengan pimpinan selamat… siapa yang berani bersuara, bersedialah untuk dikenakan tindakan.
Inilah penyakit lama dalam Bersatu – politik dendam dan cantas mencantas.
Jadi tidak hairanlah apabila kumpulan pemimpin muda ini akhirnya memilih untuk angkat kaki. Bagi mereka, meninggalkan parti adalah mesej jelas bahawa anak muda tidak mahu lagi terperangkap dalam politik perpecahan yang hanya memalukan parti sendiri.
Jika sayap pemuda sendiri sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti, itu bermakna Bersatu bukan sahaja kehilangan arah, malah sedang kehilangan generasi yang sepatutnya menjadi masa depan mereka.
Dan kalau beginilah keadaannya, jangan terkejut jika selepas ini lebih ramai lagi yang akan melompat keluar dari kapal yang sedang tenggelam ini.
Apa Reaksi Anda?











