Belanjawan Pahang 2026: Menjaga Rakyat, Mengukuhkan Masa Depan
Belanjawan Negeri Pahang 2026 dibentangkan ketika negeri berada pada landasan prestasi yang kukuh. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang mengekalkan asas pentadbiran yang jelas seperti tema Belanjawan Pahang 2026 rakyat mesti diutamakan dan kemakmuran negeri mesti dipertahankan.
Menurut Penyelaras Dun Berserah, Datuk Indera Mustaffar Kamal, Negeri Pahang telah empat tahun berturut-turut mengutip hasil negeri melepasi RM1 bilion, ekonomi berkembang 23% dalam lima tahun, KDNK mencecah RM68.7 bilion dan pelaburan melonjak hingga RM18.04 bilion. Ini bukan angka bukan yang direka, ini adalah bukti urus tadbir yang konsisten dan berdisiplin.
Selari dengan prinsip bahawa setiap hasil mesti kembali kepada rakyat, Belanjawan 2026 merangka peruntukan yang memberi manfaat menyeluruh. Hasil disasarkan sebanyak RM1.279 bilion manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.274 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan mengekalkan disiplin fiskal. Dalam masa sama, perbelanjaan pembangunan dinaikkan kepada RM446.26 juta sebagai pelaburan berterusan dalam projek strategik, infrastruktur dan keperluan asas rakyat.
Antara fokus utama belanjawan ialah keterjaminan makanan, sektor yang semakin kritikal apabila dunia berdepan ketidaktentuan bekalan dan peningkatan kos. Kerajaan memperkukuh sektor pertanian, ternakan dan perikanan melalui peruntukan yang lebih kukuh bagi memastikan makanan asas mencukupi, lebih banyak dihasilkan dalam negeri dan kurang bergantung pada import. Langkah ini bukan sahaja menstabilkan harga barang untuk rakyat, malah membuka peluang ekonomi kepada petani, penternak dan nelayan di seluruh daerah.
Pembangunan belia turut diberikan perhatian strategik. Laluan TVET diperluas, kemahiran baharu diperkenalkan, pembangunan sukan dipertingkat dan program keusahawanan diperkasa. Belia bukan lagi sekadar penerima program, tetapi dianggap sebagai pemain utama yang akan memacu ekonomi negeri beberapa tahun akan datang. Inisiatif ini disusun supaya generasi muda Pahang lebih kompeten, inovatif dan mampu bersaing di peringkat nasional serta global.
Dalam masa yang sama, pengukuhan syiar Islam turut menerima perhatian besar dengan peningkatan lebih 20% bagi kluster agama. Ini meliputi sokongan kepada sekolah agama, institusi tahfiz, program al-Quran, pembangunan rumah ibadat dan pelbagai inisiatif pembangunan ummah. Pendekatan ini memastikan pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pembinaan nilai, adab dan jati diri rakyat.
Apabila keseluruhan belanjawan ini diperhatikan, jelas ia bukan belanjawan bermusim atau belanjawan “gula-gula” seperti yang dituduh pembangkang. Peningkatan peruntukan strategik, kestabilan hasil, momentum pelaburan dan penurunan kadar pengangguran menunjukkan Pahang berjalan dengan hala tuju yang jelas. Belanjawan 2026 dibina atas kekuatan sedia ada sambil memperbaiki ruang yang masih boleh diperkemas.
Singkatnya, ini belanjawan yang menjaga rakyat hari ini dan mengukuhkan masa depan negeri.
Apa Reaksi Anda?











