Bila Nak Menang Selangor, PAS Pun Pandai Jadi Liberal

PAS nampaknya mula berwajah dua bila menyentuh isu arak dan judi di negeri yang mereka belum kuasai. Terbaru, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, memberi jaminan bahawa parti itu “tidak akan menutup pusat perjudian serta-merta” jika berjaya membentuk kerajaan negeri. Katanya, PAS akan “membuat kajian dan berbincang dahulu” kerana Selangor negeri berbilang kaum.
Kenyataan ini nyata bercanggah dengan semangat Islam yang sering dilaungkan PAS setiap kali berceramah di kampung dan surau. Ketika di negeri majoriti Melayu seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, PAS bukan main gah menutup premis arak dan perjudian atas nama amar makruf nahi mungkar.
Tapi bila sampai ke Selangor negeri yang ramai pengundi bukan Islam dan undi bandar yang menentukan tiba-tiba mereka jadi “rasional dan terbuka”, kononnya mahu berbincang dulu. Ironinya, inilah parti yang saban hari menuduh kerajaan Madani tidak tegas dalam soal moral dan agama.
Persoalannya, di mana prinsip PAS yang selama ini mendabik dada konon menegakkan hukum Islam? Dulu, tokoh PAS seperti Dr Hassan Ali pernah bertegas mahu membanteras penjualan arak di Shah Alam dan Bangi atas alasan ia mencemarkan masyarakat Islam. Tapi hari ini, pengganti beliau bercakap tentang “muafakat” dan “kajian dasar”. Apakah hukum Islam juga berubah ikut postkod dan komposisi kaum?
Lebih kelakar, dalam isu penjualan arak jenama “Timah” dahulu, pemimpin PAS sendiri melenting, mendesak supaya kerajaan pusat campur tangan dan “menghormati sensitiviti umat Islam”. Tapi sekarang, apabila bercakap tentang dasar negeri yang mereka impikan untuk kuasai, semua jadi lunak seolah-olah arak dan judi tidak lagi satu keutamaan moral.
Inilah wajah sebenar PAS bila berada di luar “zon selesa” mereka. Bila di negeri Melayu, mereka bertempik mahu tutup arak, haramkan konsert dan serbu kedai nombor ekor. Tapi bila di Selangor negeri yang menentukan siapa menguasai Putrajaya mereka jadi lembut dan berhati-hati, bimbang menyinggung pengundi bukan Islam.
“PAS untuk semua”, kata Ab Halim Tamuri. Tapi rakyat kini makin faham maksud tersiratnya PAS untuk semua undi. Segala hukum boleh ditangguh, segala prinsip boleh dikompromi, asalkan peluang menuju kuasa tidak tergugat.
Jika beginilah wajah sebenar PAS di negeri maju seperti Selangor, rakyat wajar berfikir panjang. Parti yang kononnya mahu menegakkan Islam rupanya tidak lebih daripada pelakon politik yang tahu bila perlu keras, dan bila perlu pura-pura lembut.
Apa Reaksi Anda?






