‘Karma PPBM, Dulu Khianat UMNO Kini Bergolak Sesama Sendiri’
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan pertelingkahan dalaman yang berlaku dalam PPBM sebagai satu bentuk karma terhadap parti itu.
Menurut beliau, ini kerana pergolakan di antara mereka merupakan kesan daripada tindakan mereka sebelum ini yang meratip perpecahan dalam UMNO.
Sebaliknya kata Dr Azhar, UMNO tetap utuh kerana asas perjuangannya dibina atas semangat perpaduan dan kesetiaan terhadap agama, bangsa dan tanah air.
“Bezanya dengan UMNO yang lahir daripada keramatnya sejarah bangsa. UMNO lahir daripada perut ibu-ibu yang mendoakan kesejahteraan negara atas dasar semangat perjuangan… daripada tangan-tangan yang menadah rahmat Allah SWT.
“Tetapi PPBM pula lahir dengan niat mahu menggantikan, menghapuskan dan mengharamkan UMNO. Itulah dasar mereka hendak menghancurkan UMNO. Namun hari ini, doa mereka itu berpatah balik menikam mereka sendiri.
“Perpecahan mereka ini sudah tidak dapat ditampung lagi kerana hati mereka sudah robek, sudah berkecai. Pelukan sesama mereka hanyalah pelukan palsu. Mulut cakap lain, hati fikir lain masing-masing tunggu masa hendak makan siapa,” katanya.
Menurut beliau lagi pergolakan di antara mereka bukan lagi rahsia sejak pemecatan dan penggantungan dua ahli Parlimen parti itu.
“Tidak pernah berniat mencampuri urusan orang lain namun apa yang berlaku dalam parti mereka bukan lagi rahsia. Perpecahan dan pergaduhan mereka terbuka, ahli Parlimen mereka setiap hari membantai presiden sendiri walaupun sudah dipecat, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong… itulah keadaannya.
“Kena ingat kelahiran parti itu sendiri lahir daripada kebencian, pengkhianatan. Maka yang lahir membiak semuanya kebencian dan pengkhianatan. Dari awal sampai akhir, semuanya berasaskan pengkhianatan.
“Maka hari ini, apa yang mereka lakukan dahulu, kembali kepada mereka sebagai karma. Karma tetap karma,” katanya.
Terdahulu, pada bulan lalu PPBM memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor,, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta pemecatan beberapa Ketua Bahagian susulan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Apa Reaksi Anda?











