Ketua Pemuda PAS Perak Tersilap Lagi: Hantaran Perkauman, Tabayyun Entah ke Mana
Pemimpin PAS sekali lagi menunjukkan wajah sebenar mereka yang gopoh, sembrono dan gemar main sentimen kaum. Kali ini giliran Ketua Pemuda PAS Perak merangkap ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri yang menconteng arang ke muka sendiri.
Dalam hantaran Facebooknya baru-baru ini, beliau mendakwa seorang wanita yang meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh sebagai “berbangsa Cina.” Kononnya mahu tunjuk hero mempertahankan institusi Raja, tetapi akhirnya kena balik batang hidung sendiri.
Hakikatnya, wanita itu ialah seorang Melayu tempatan yang ada rekod rawatan psikiatri jauh sekali daripada dakwaan liar Mohd Hafez. Polis Perak sendiri sudah sahkan perkara ini.
Seperti biasa, skrip lama PAS berulang. Hafez cepat-cepat tukar hantaran selepas menyedari kesilapan. Tetapi tangkap layar sudah pun bertebaran dan tuduhan berbau perkauman itu tidak boleh ditarik balik dengan mudah. Akhirnya, beliau disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Inilah penyakit kronik PAS apabila membuat hantaran ikut sedap hati, bila salah baru menggelupur cari alasan atau minta maaf.
Hafez kata dia panik sebab bimbang keselamatan Sultan. Tetapi alasan itu tidak mengubah fakta yang seorang wakil rakyat sepatutnya lebih berhati-hati. Bukankah mereka selalu melaungkan slogan tabayyun? Nampaknya, tabayyun itu hanya ayat manis di pentas ceramah, bukan amalan sebenar.
Jangan lupa, ini bukan kes terpencil. Di Perak sahaja, Pesuruhjaya PAS, Razman Zakaria, pernah memfitnah kononnya kerajaan negeri dikawal “bangsa DAP.” Bila kena serang dengan fakta, terus tarik balik, terus minta maaf.
Corak yang sama berulang dengan lempar fitnah dulu, cucuk sentimen kaum atau agama, bila tersudut barulah mengaku silap.
Bagi PAS, nampaknya fitnah dan kebohongan sudah jadi strategi politik halal demi kuasa. Mereka pandai jual imej alim di pentas tapi di media sosial dan politik harian, perangai jauh lebih teruk daripada apa yang mereka tuduh pada orang lain.
Hantaran Mohd Hafez bukan sekadar “kesilapan kecil.” Ia membuktikan bagaimana pemimpin PAS terus bermain dengan api perkauman tanpa fikir akibat. Apa yang lebih menyedihkan, mereka cepat bersembunyi di balik alasan dan permohonan maaf seolah-olah semua boleh selesai begitu sahaja.
Cukuplah! Rakyat sudah muak dengan politik kebencian dan drama murahan sebegini. Jika benar mahu jadi pemimpin berwibawa, berhentilah jadi keyboard warrior gopoh yang suka menabur fitnah.
Kerana akhirnya, yang rugi bukan sekadar imej pemimpin PAS, tetapi keharmonian rakyat seluruhnya.
Episod Mohd Hafez ini sekali lagi membuka mata rakyat bahawa PAS memang kemaruk fitnah, gopoh bila menulis, dan pakar minta maaf bila kantoi. Politik sebegini layak ditinggalkan di tong sampah sejarah.
Apa Reaksi Anda?











